KPDN anjur Persidangan E-Dagang ASEAN: fokus perlindungan pengguna & ekonomi digital

FOTO BERITA: Majlis taklimat sempena Majlis Soft Launch E-Commerce Conferenc 2025 oleh YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Lola by Serai, KLGCC ResortKuala Lumpur. 4 September 2025 (Khamis)

Bersempena dengan Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini, negara bakal menjadi tuan rumah Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 (ASEAN E-Commerce Conference 2025) yang dijadual berlangsung pada 24 hingga 25 November 2025 di Grand Hyatt, Kuala Lumpur.
Persidangan dua hari itu dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama strategik Malaysia E-Commerce Chapter di bawah Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI).

Dengan tema “ASEAN E-Commerce Transformation: Bridging Gaps, Enhancing Competitiveness”, persidangan sulung ini bakal menghimpunkan penggubal dasar, agensi kawal selia, pemain industri dan usahawan digital dari seluruh ASEAN bagi membincangkan hala tuju strategik transformasi e-dagang serantau. Acara ini turut mendapat sokongan daripada pemain industri e-dagang utama seperti Shopee, Lazada, TikTok Shop, Mudah.my, Carousell serta penaja bersama lain. Kerjasama ini mencerminkan komitmen memperkukuh kepercayaan digital, inovasi dan pertumbuhan ekonomi digital inklusif di rantau ini.

Menurut KPDN, objektif utama persidangan ini adalah, mewujudkan pasaran e-dagang yang diyakini meliputi isu perlindungan pengguna, cabaran kawal selia rentas sempadan, cetak rompak digital dan penjualan barangan tiruan. Memperkasa ekosistem digital ASEAN termasuk memperkukuh jaringan logistik, akses kepada kewangan digital seperti Buy Now Pay Later (BNPL), serta memperkasa usahawan PMKS melalui platform e-dagang.

Persidangan dijangka menarik penyertaan lebih 350 peserta dengan 14 sesi perbincangan panel yang menampilkan 33 ahli panel daripada sektor awam dan swasta, dalam dan luar negara.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, manakala ucaptama disampaikan oleh Encik James Dong, Presiden International Marketplace, Alibaba International Digital Commerce Group. Turut hadir sebagai penceramah ialah tokoh-tokoh utama industri dan pengawal selia dari Malaysia, Singapura, Thailand dan antarabangsa. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai pendapatan tahunan sektor e-dagang negara pada 2024 mencecah RM1,230.6 bilion, manakala pada separuh pertama 2025 sahaja ia telah merekodkan RM625 bilion, melebihi tempoh sama tahun lalu. Di peringkat ASEAN, laporan e-Conomy SEA 2024 mengunjurkan nilai ekonomi digital serantau bakal mencapai USD1 trilion menjelang 2030, dengan e-dagang menjadi pemacu utama pertumbuhan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Salleh, berkata persidangan ini penting bagi memperkukuh kerjasama serantau, meningkatkan perlindungan pengguna, serta melonjakkan agenda ekonomi digital negara.