PM Anwar di China: Malaysia buktikan kuasa sederhana yang disegani dunia
Oleh A. ZAHID
Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China baru-baru ini bukan sekadar acara protokol atau simbolik persahabatan.
Ia jelas membawa mesej besar iaitu Malaysia mahu berdiri sebagai pemain utama dalam percaturan serantau dan global.
Dalam era dunia yang semakin berpecah dengan perang perdagangan, konflik geopolitik, dan hipokrasi kuasa besar, Malaysia memilih jalan bijak dengan mengukuhkan hubungan dengan China sambil membawa suara keadilan di pentas dunia.
Hubungan peribadi Perdana Menteri dengan Presiden Xi Jinping dan Premier Li Qiang bukan sekadar diplomasi mesra, tetapi membuahkan hasil nyata.
Potensi pelaburan RM905 juta dalam sektor kimia dan telekomunikasi, prospek eksport semikonduktor bernilai RM2.2 bilion, serta komitmen JD.com untuk membeli produk Malaysia bernilai RM180 juta adalah bukti keyakinan gergasi ekonomi dunia terhadap kestabilan dan daya saing kita.

Dalam era ketidaktentuan global, keyakinan sebegini adalah aset yang lebih mahal daripada sekadar angka di atas kertas.
Namun, lawatan ini tidak berhenti pada soal ekonomi. Di Tianjin, Perdana Menteri lantang menyuarakan isu Gaza dan Myanmar, menjadikan Malaysia juara moral yang tidak gentar menegur ketidakadilan.
Enjin pertumbuhan global
Kehadiran beliau dalam sambutan ulang tahun ke-80 penamatan Perang Dunia Kedua di Beijing memperkukuh naratif Malaysia sebagai negara yang menolak penindasan, seiring dengan sejarah panjang menentang penjajahan.
Lebih penting, ucapannya di Tianjin University membuka horizon baharu. Beliau mengingatkan dunia bahawa Asia kini enjin pertumbuhan global dan abad ke-21 adalah milik rantau ini.
Dari Bretton Woods 1944 hingga krisis dolar 1971, dunia sudah beberapa kali menyaksikan penyusunan semula sistem ekonomi global.
Kini, dengan kebangkitan BRICS dan SCO, serta tarif Amerika yang menggoncang pasaran, peluang terbuka untuk Asia termasuk Malaysia untuk menulis lembaran baharu orde ekonomi dunia.
Lawatan Perdana Menteri ke China ini adalah deklarasi Malaysia sebagai negara berdaulat, berprinsip, dan bersedia menerajui era baharu.
Diplomasi Madani bukan sahaja bekerja untuk rakyat hari ini, tetapi juga memposisikan Malaysia sebagai kuasa sederhana yang dihormati, didengari, dan disegani di dunia esok.
BACA JUGA Subsidi bersasar RON95 kekal dilaksana akhir tahun ini