76,002 kandungan sudah dipadam, mungkinkah TikTok akan disekat?

Dalam tempoh lapan bulan bermula 1 Januari lalu, sebanyak 76,002 kandungan diturunkan daripada platform media sosial, TikTok.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, terdapat 10,730 kandungan yang diminta untuk diturunkan oleh kementerian tetapi tidak dipatuhi oleh pihak pengendali TikTok.

“Ini bermaksud peratusan penurunan adalah sebanyak 86 peratus, dan penting saya terangkan bahawa tindakan menurunkan dilakukan oleh platform sendiri berdasarkan garis panduan yang mereka (platform) terbitkan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau menjelaskan penurunan kandungan itu berdasarkan garis panduan komuniti TikTok walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meminta platform tersebut untuk menurunkan sesebuah kandungan.

“Sekiranya platform berpendapat berdasarkan aspek undang-undang dan perundangan bahawa ia tidak melanggar garis panduan komuniti, maka kandungan berkenaan tidak diturunkan,” ujarnya.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, pelbagai isu berbangkit membabitkan TikTok dibincangkan menerusi perjumpaan berkenaan.

Ia khususnya kes jenayah siber dan buli siber kerana platform itu dilihat tidak proaktif bagi membendung masalah terbabit.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdapat sejumlah kertas siasatan dibuka membabitkan platform TikTok.

“Pihak TikTok sangat culas, sangat lewat untuk memberikan maklumat untuk mengatasi masalah scam bila ia berlaku.

“Jadi, kita serahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) serta MCMC bagi meletakkan perkara untuk diutamakan pihak TikTok supaya kita dapat segera selesaikan masalah ini,” katanya.

Menurutnya, pihak kerajaan setakat ini tidak bercadang mengenakan tindakan sekatan ke atas TikTok memandangkan aplikasi itu juga banyak memberi manfaat termasuk pendapatan tambahan kepada masyarakat.

Tambah beliau lagi, isu sebenar yang perlu diberi perhatian adalah berhubung masalah penipuan dan buli siber serta pematuhan pihak TikTok kepada undang-undang negara.

BACA JUGA Subsidi bersasar RON95 kekal dilaksana akhir tahun ini