PRN Sabah: AMANAH sasar lima, mahu menang satu

AMANAH bertekad untuk melakar kejutan dengan meraih kerusi sulung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi dengan meletakkan calon di beberapa kerusi yang dikenal pasti.

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, parti itu sedang menilai nama-nama calon yang sesuai dan akan dimuktamadkan oleh presiden parti, Datuk Seri Mohamad Sabu nanti.

“Kita sasar lima kerusi pada PRN Sabah kali ini, namun banyak parti akan bertanding. Keutamaan AMANAH adalah meletakkan calon yang berpotensi menang.

“Soal calon, jangan risau kerana AMANAH bersedia sepenuhnya untuk bertanding dan memastikan kemenangan,” katanya semasa merasmikan Gelombang Samudera Madani Kelantan Sempena Hari Kebangsaan 2025 di Pantai Sri Tujoh

Faiz menambah bahawa kerjasama sesama parti komponen PH dan parti gabungan lain juga akan diperkukuhkan bagi mengekalkan kerajaan sedia ada. Beliau turut menambah bahawa AMANAH akan memberikan khidmat terbaik untuk memastikan kemenangan kepada kerajaan sedia ada.

PH akan bekerjasama dengan GRS dalam satu gabungan dan dengan BN dalam satu gabungan lain.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor membayangkan ia dibuat dalam masa terdekat bagi memberi laluan untuk diadakan PRN Sabah.