Pelajar UPM Rangkul Kejuaraan di Eindhoven Semicon Summer School 2025

FOTO BERITA: Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa apabila pelajarnya, Muhammad Zulfakhri Zulkifli 23 tahun, dari Fakulti Kejuruteraan (FK), muncul juara pertandingan projek kumpulan dari 25 hingga 29 Ogos lalu. di Eindhoven Semicon Summer School (ESSS) 2025 yang berlangsung di Eindhoven, Belanda. (Gambar: Bart van Overbeeke / Rutger van Loo)

Kejayaan itu dicapai melalui projek bertajuk “Towards Integrated Broadband Photonic Systems: Conceptualizing a Handheld Real-Time Spectroscopy Instrument” yang menewaskan 75 peserta lain, sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Muhammad Zulfakhri yang juga satu-satunya wakil UPM dan Malaysia di program berprestij tersebut berkata, kemenangan itu menjadi pengalaman berharga dan pendorong untuk terus menyumbang dalam bidang teknologi.

“Saya berbesar hati dapat mewakili UPM dan Malaysia di pentas antarabangsa ini menerusi jemputan rasmi Kedutaan Belanda ke FK UPM. Program ini memberi pendedahan berharga tentang teknologi semikonduktor, dan kemenangan ini menjadi pemangkin untuk saya terus menyumbang kepada pembangunan teknologi negara,” katanya.

ESSS 2025 menghimpunkan 80 peserta daripada lebih 20 universiti terkemuka dunia termasuk dari Eropah, dengan setiap peserta dibahagikan kepada 12 kumpulan bagi mengusahakan projek bertemakan sistem fotonik dalam tempoh lima hari sebelum pembentangan akhir.

Bersama rakan sepasukan dari Belanda, Itali, Taiwan, dan Romania, Muhammad Zulfakhri berjaya menampilkan inovasi berkualiti tinggi sehingga dinobatkan sebagai juara. Pasukan itu membawa pulang hadiah wang tunai €600 (kira-kira RM3,000) beserta sijil penyertaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada FK UPM, Kedutaan Belanda, MITI, TalentCorp, serta Sekretariat National Semiconductor Strategy (NSS) atas sokongan strategik terhadap penyertaannya.

Program anjuran Eindhoven Hendrik Casimir Institute (EHCI) ini turut menampilkan syarahan khas oleh pakar antarabangsa daripada institusi dan syarikat gergasi industri termasuk Eindhoven University of Technology, ASML, NXP Semiconductors, ASM, KU Leuven, IMEC, IBM, Synopsys Inc., EFFECT Photonics, Axelera AI, dan TSMC, selain lawatan ke beberapa syarikat semikonduktor utama di Belanda.

Bersama ibu sebagai pendorong semangat