Ini punca GRS tidak mahu bekerjasama dengan BN di dalam PRN Sabah

Keunikan politik Sabah dan amalan demokrasi di negeri tersebut adalah punca Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mahu bekerjasama dengan Barisan Nasional, kata pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor.

“Ini bukan baru berlaku. Di Sabah, BN pembangkang dan di peringkat pusat, BN bersama. Ini biasalah dalam politik, terutama di Sabah,” katanya yang juga Ketua Menteri Sabah, memetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan keputusan BN yang bercanggah dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, beliau berkata, GRS belum memutuskan sama ada gabungan itu benar-benar tidak akan bekerjasama dengan BN dan akan membuat pengumuman selepas ia dimuktamadkan.

Beliau juga mengulangi komitmen bekerjasama dengan Pakatan Harapan, mengambil kira kerajaan Sabah dibentuk dua gabungan itu.

“Itu terpulang kepada BN dan Umno (jika tidak mahu bekerjasama),” katanya.

Semalam, Presiden Umno Zahid Hamidi mengesahkan Umno-BN menolak kerjasama dengan GRS, namun meneruskan kerjasama bersama PH.

Anwar masih mahu BN, GRS dan PH bekerjasama dalam pilihan raya negeri Sabah.