Delegasi Selangor Catat Rekod Malaysia, Baca Ikrar di Puncak Kinabalu

FOTO BERITA: Ekspedisi Kinabalu sempena Ulang Tahun Jubli Perak Bandaraya Shah Alam 2 September – 6 September Gunung Kinabalu Sabah. (Gambar: YB Najwan)

Sempena sambutan Ulang Tahun Jubli Perak Bandaraya Shah Alam, seramai 39 peserta termasuk EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, YB Najwan Halimi berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu dalam ekspedisi yang berlangsung dari 2 hingga 6 September 2025.

Ekspedisi yang dianjurkan bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Tourism Selangor dan Selangor FM ini mencatat sejarah apabila delegasi membaca ikrar Rukun Negara di puncak tertinggi Malaysia pada ketinggian 4,095 meter dari paras laut, sekali gus diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Pada 5 September, kumpulan pendaki menamatkan ekspedisi dengan perjalanan turun dari Panalaban jam 9 pagi dan selamat tiba di Timpohon Gate. Delegasi terdiri daripada 1 wakil EXCO, 32 wakil MBSA, 4 wakil Tourism Selangor serta 2 wakil Selangor FM.

Selain bacaan ikrar, ekspedisi ini turut menyaksikan pengibaran bendera rasmi Tahun Melawat Selangor 2025 di puncak Gunung Kinabalu, simbolik semangat perpaduan, kecintaan kepada negara dan komitmen Selangor mempromosikan pelancongan negeri di peringkat antarabangsa.

Gambar penerimaan sijil pengiktirafan dari MBOR