Degil naikkan iklan tanpa permit, Datuk Bandar PJ turunkan sendiri papan iklan haram
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus memperketat penguatkuasaan terhadap iklan haram apabila Datuk Bandarnya, Mohamad Zahri Samingon sendiri turun padang menyita papan iklan haram di Lebuhraya Persekutuan.
Menurut laporan, pemilik papan iklan gergasi itu sudah dua kali diberi notis amaran namun masih berdegil.
Mohamad Zahri berkata, pihak MBPJ sudah memotong bekalan elektrik di lokasi dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini.
Namun, pemilik papan tanda bertindak berani dengan menggunakan penjana kuasa, yang sudah disita pada 29 Ogos lalu.
“Kita sita. Kini mereka guna solar dan pasang CCTV pula, seolah-olah mencabar pihak berkuasa,” katanya ketika operasi tengah malam tadi.
Mohamad Zahri menegaskan, tindakan ke atas papan iklan bersaiz 37 meter panjang dan sembilan meter tinggi itu dilakukan atas semangat integriti serta memastikan garis panduan periklanan dipatuhi semua pihak tanpa mengira saiz syarikat.
“Tak kira besar atau kecil, semua wajib ikut peraturan. Kalau saya sendiri tidak bertindak, ia beri isyarat salah kepada pihak lain. Kita mahu elak perbuatan ini berleluasa dan jadi ikutan,” katanya lagi.
BACA JUGA Papagomo jangan dabik dada, kes belum berakhir – AMK