Jangan lupakan Faris, moga pemimpin terbuka hati tegakkan keadilan
Oleh LIYANA MARZUKI
Seminggu dah tulis tentang Zara, namun jangan pula kita lupakan Faris. Nasibnya tidak sebaik Zara.
Sejak mula kesnya berlaku, meskipun penuh dengan fakta yang mengejutkan, Faris tidak mendapat pembelaan daripada ahli politik atau aktivis. Kes pembunuhannya segera ditutup begitu sahaja.
“Pelajar tahfiz ditemui mati tergantung di sebuah maahad di Kok Lanas.” Selepas itu, dia difitnah pula kononnya membunuh diri.
Sepatutnya, kejadian itu sudah cukup untuk menggerakkan solidariti seluruh Kelantan. Namun, hal itu tidak berlaku.
Mangsa dan keluarganya dibiarkan berjuang mencari keadilan seorang diri. Ahli Parlimen yang sanggup merentas Laut Cina Selatan bagi membela seorang adik di Sabah, malangnya tidak menunjukkan keprihatinan yang sama terhadap Faris.
Menjaga batas
Ketika saya dan rakan-rakan sepakat untuk membantu dalam kes ini, kami sedar ada banyak fakta yang mampu membangkitkan emosi dan persepsi.
Namun, kami tetap menjaga batas walaupun usaha menutup kes ini begitu jelas dan kecuaian pihak sekolah dan YIK nyata, bahkan arwah difitnah pula kononnya dirasuk jin.
Mencari pembunuh hanyalah satu sisi. Mereka yang melindungi jenayah ini juga tidak ubah seperti berperangai dajjal.
Namun begitu, kami tidak memainkan sentimen kebencian. Kami tidak menuntut pemimpin politik meletak jawatan, apatah lagi menuduh VVIP Kelantan terlibat.

Walaupun ada butiran yang cukup menjengkelkan dan membangkitkan kemarahan, saya tetap yakin menjaga maruah Faris adalah lebih utama. Biarlah kebenaran terdedah di mahkamah.
Malangnya, kini halangan utama ialah sikap pemimpin politik yang masih bermain wayang.
Keluarga Faris telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar agar diberi laluan untuk menyaman YIK dan pihak sekolah di mahkamah.
Namun, memorandum itu tidak dijawab. Tanggungjawab pula dialihkan kepada Kerajaan Pusat.
Berputar tanpa kepastian
Kerajaan Pusat sudah membuka semula kes ini, malah sanggup bertemu kami meskipun kami menyaman PDRM dan Menteri. Peguam Negara juga telah memberi jaminan.
Tetapi di peringkat negeri, masih berputar-putar tanpa kepastian. Dalam sidang DUN, kelihatan seolah-olah ikhlas mahu membantu, tetapi sehingga kini, ia hanya sekadar kata-kata. Ibu bapa Faris masih menunggu, tanpa kunjungan atau perhatian.
Jika tiada sebarang tindakan, maka kami perlu membawa perkara ini ke peringkat lebih tinggi serta menggerakkan solidariti rakyat.
Insya-Allah, kami tidak akan berhenti sehingga keadilan ditegakkan.
Doakanlah untuk Faris, sahabat-sahabat. Jangan sesekali kita berputus asa daripada-Nya. Sudah 12 tahun dia menanti di alam sana.
Moga para pemimpin terbuka hati untuk menegakkan keadilan buat seorang huffaz, seorang pengawas, seorang penghafaz al-Quran.

BACA JUGA Nak PM Anwar turun, akhirnya ahli Bersatu pekik “turun Tan Sri”