Mengapa ramai pesakit Indonesia pilih berubat di Malaysia?
Seorang warganegara Indonesia berkongsi pengalaman dan pengamatannya mengapa ramai pesakit dari negaranya mengunjungi Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Menerusi rakaman dikongsi di TikTok, Yen Dertha Saragih berkata, proses diagnosis dan tempoh pesakit menunggu di hospital Malaysia lebih singkat berbanding Indonesia.
Keadaan itu, jelas wanita berkenaan, sekaligus menjimatkan banyak masa dan perbelanjaan.
“Kalau berubat di Indonesia, kamu ada ujian makmal, katakan Isnin, keputusannya, tiga hari kemudian. Hari Rabu, datang lagi ke hospital.
“Itulah yang bikin biaya berganda. Kos petrol, parkir, jajan. Doktornya jadi bayar dua kali, kan?
“Kalau di Malaysia, kamu berangkat hari Isnin, Selasa pagi jumpa doktor.
“Pagi esoknya, cerita sama doktor semua masalah, kamu bayar konsultasi paling tidak sekitar 700,000 rupiah (kira-kira RM 181).
“Selepas itu, doktor rujuk kamu ke makmal, mungkin kamu perlu jalani imbasan CT, ujian darah yang mengambil masa kurang lebih dua jam.
“Kalau siang tak cukup waktu, makan tengah hari dulu. Jam 2 petang, kamu sudah boleh ambil keputusannya,” kata beliau.
Yen Dertha yan juga perwakilan rasmi Mahkota Medical Centre (MMC) Melaka dan Regency Specialist Hospital Johor menambah segala urusan berkaitan proses mendapatkan rawatan di Malaysia lebih mudah tanpa perlu berulang ke hospital.
“Setelah keputusannya keluar , doktor menganalisa, sakitnya apa. Di situlah doktor akan memutuskan tindakan akan dibuat atau diberi ubat saja.
“Dari situ kamu bakal jimat Waktu, biaya. Tak perlu ulang-alik ke hospital. Semuanya jadi efisien,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Indonesia merupakan penyumbang terbesar kepada pelancongan kesihatan di Malaysia, merangkumi hampir 65 peratus daripada jumlah pesakit asing.
Lebih sejuta kunjungan setiap tahun warganegara Indonesia ke pusat perubatan di Malaysia terutamanya di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Hospital bertaraf antarabangsa seperti Gleneagles, Island, Pantai serta Institut Jantung Negara (IJN) menjadi pilihan utama pesakit dari Indonesia yang mendapatkan rawatan kardiovaskular, onkologi, fertiliti dan lain-lain.
Pelbagai faktor menyumbang kepada tahap kepercayaan warganegara Indonesia yang tinggi terhadap sistem perubatan Malaysia.
Antaranya, diagnosis dan rawatan yang lebih tepat, kualiti perkhidmatan profesional serta efisien, kemudahan komunikasi dalam bahasa yang sama serta lokasi strategik dan akses yang mudah.
BACA JUGA Abdul Hadi, Tuan Ibrahim kekal terajui parti gambaran kelemahan Pas?