AMANAH perlu perkukuh sokongan Melayu Islam, angkat agenda pengupayaan rakyat – Adly

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Selangor oleh YB Tuan Hj. Adly Zahari Naib Presiden Parti. Turut hadir Pengerusi Amanah Negari YB Tuan Ir. Izham Hashim di The Midlands Convention Centre ( MCC ), Shah Alam. 7hb September 2025 (Ahad)

Berucap pada Konvensyen AMANAH Selangor 2025 di Shah Alam hari ini, Adly menegaskan bahawa perjalanan politik AMANAH sejak ditubuhkan pada tahun 2015 penuh dengan cabaran, namun kejayaan parti itu bertahan lebih sedekad membuktikan kekuatan yang didorong oleh perjuangan ikhlas serta kerjasama erat dalam Pakatan Harapan (PH).

“Sepuluh tahun pertama adalah fasa kita bertahan. AMANAH bernasib baik kerana mempunyai rakan yang jujur dan ikhlas dalam persahabatan politik, terutama di Selangor yang menjadi tunjang kekuatan parti,” katanya.

Adly turut mengakui Selangor kini muncul antara negeri dengan keahlian AMANAH tertinggi, hampir menyamai Kelantan. Justeru, beliau optimis kepimpinan negeri mampu memperluas pengaruh parti, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu Islam.

“Untuk menguasai sokongan Melayu Islam, AMANAH mesti memperkukuh cawangan. Budaya masyarakat kita menuntut parti benar-benar dekat dengan rakyat. Bila rakyat disantuni, mereka yakin untuk bersama membangunkan negeri dan negara,” tegas beliau.

Mengulas slogan parti, Amanah, Progresif, Peduli, Adly menegaskan ia bukan sekadar retorik, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam bentuk pengupayaan rakyat.

Katanya, Selangor wajar menjadi model pengupayaan ekonomi, sosial dan digital yang boleh dicontohi oleh negeri lain. “Kita mesti mengangkat kemampuan rakyat – bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga sosial, digital dan pentadbiran. Selangor telah menunjukkan contoh bagaimana pengupayaan rakyat boleh menjadi teras pembangunan negeri,” ujarnya.

Beliau menambah, nilai kepedulian adalah roh perjuangan AMANAH yang bukan sahaja peduli terhadap rakyat di tanah air, tetapi juga terhadap isu kemanusiaan sejagat.

Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor menegaskan komitmen untuk terus mengangkat politik berasaskan nilai, rahmah dan integriti dalam mendepani cabaran politik fitnah serta persediaan menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusi AMANAH Selangor, YB Dato’ Ir. Izham Hashim, berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen AMANAH Negeri Selangor ke-10, yang berlangsung hari ini. Beliau mengingatkan bahawa perjuangan AMANAH bukan sekadar membina kekuatan parti, tetapi mendukung aspirasi rakyat demi masa depan negara yang bermaruah. “AMANAH mengangkat politik rahmah, bukan politik benci-membenci. Politik perdamaian, bukan politik adu domba. Politik integriti, bukan politik sakau. Kita membela marhaen, bukan menjaga perut kelompok sendiri,” tegasnya.

Izham turut menzahirkan solidariti penuh terhadap rakyat Palestin yang terus ditindas oleh rejim Zionis Israel. Katanya, lebih 40,000 nyawa tidak berdosa gugur sejak 2023, dengan lebih dua juta rakyat Palestin menjadi pelarian di tanah air sendiri.

“Malaysia tidak akan sekali-kali tunduk daripada memperjuangkan hak rakyat Palestin. Amanah berdiri teguh bersama pendirian kerajaan dan rakyat Malaysia yang konsisten menyokong kebebasan Palestin,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Izham turut menyingkap perjalanan sedekad AMANAH sejak penubuhannya di Selangor pada 2015. Bermula dengan hanya dua kawasan – Kuala Langat dan Serdang – kini parti itu berkembang ke seluruh negeri dengan sokongan sayap Pemuda, Wanita dan Wanita Muda.

Katanya, kerjasama erat dalam Pakatan Harapan (PH) serta dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya KEADILAN, DAP dan UMNO, telah membuahkan hasil yang membanggakan bagi Selangor.

Selangor mencatatkan KDNK tertinggi dalam sejarah bernilai RM432.1 bilion pada 2024, sumbangan 26.2% kepada ekonomi Malaysia. Pelaburan diluluskan juga meningkat kepada RM101.1 bilion pada tahun sama, menjana lebih 80,000 pekerjaan.

Selain itu, program kebajikan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) kini merangkumi 44 inisiatif dengan peruntukan lebih RM600 juta setahun bagi manfaat rakyat.

Mengulas mengenai PRU16, Izham menegaskan AMANAH bersama Kerajaan Perpaduan perlu tampil dengan persediaan rapi dan semangat perpaduan utuh.

“Kita tidak boleh masuk medan PRU16 dengan langkah yang longgar. Ia bukan sekadar perhitungan kerusi, tetapi perhitungan maruah dan masa depan negara. Episod kerajaan tebuk atap selama 33 bulan tidak boleh berulang lagi,” katanya.

Izham menyeru seluruh ahli dan pimpinan AMANAH untuk terus beristiqamah, meningkatkan kesiap-siagaan dan memanfaatkan momentum kejayaan pentadbiran Selangor sebagai bukti kemampuan parti memimpin dengan integriti.






