Skandal projek Lebuhraya MEX II: Isteri Tan Sri Abu Sahid didakwa terima RM67 juta dana haram
Bukan sahaja Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed berdepan pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram, isterinya juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Puan Sri Noor Azrina Mohd Azmi berdepan satu pertuduhan menerima RM67.1 juta daripada hasil aktiviti haram berkaitan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II).
Dalam prosiding berasingan hari ini, Noor Azrina, 48, di hadapan Hakim Rosli Ahmad, memohon dibicarakan atas pertuduhan tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM67,136,588.43 dalam akaun CIMB Bank miliknya dari akaun bank sama kepunyaan suaminya, di CIMB Bank, Bukit Tunku, antara 6 Mac dan 27 November 2017.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.
Maksimum 15 tahun
Sekiranya sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Sementara itu, di mahkamah sama, Abu Sahid Mohamed pula berdepan empat pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang mencecah RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM139 juta.
Bagaimanapun, Abu Sahid, 74, yang berkerusi roda mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas semua pertuduhan terbabit yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
BACA JUGA Pengarah Maju Holdings berdepan tuduhan pecah amanah, ubah wang haram RM452 juta