Selepas rumah dijarah, Menteri Kewangan Sri Mulyani dipecat

Selepas lebih seminggu rumah Menteri Kewangan diceroboh dan dijarah dalam aksi rusuhan besar-besaran di Indonesia, Menteri Kewangan berkenaan dipecat alam rombakan Kabinet hari ini.

Penggantinya adalah Ahli Ekonomi yang juga Ketua Lembaga Penjamin Simpanan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa.

Menteri Sekretariat Negara, Prasetyo Hadi menggumumkan Purbaya sebagai Menteri Kewangan baharu mengambil alih tempat Sri Mulyani.

Purbaya, 61, memiliki ijazah sarjana dan doktor falsafah dalam bidang ekonomi dari Universiti Purdue, Amerika Syarikat (AS).

Mantan Ketua Lembaga Penjamin Simpanan Indonesia sejak 2020 itu juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif di syarikat broker milik kerajaan, Danareksa Sekuritas.

Beliau pernah memegang pelbagai jawatan di beberapa kementerian, termasuk Timbalan Menteri di Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan.

Sri Mulyani, 63, adalah antara Menteri Kewangan paling lama berkhidmat di Indonesia dan sudah berkhidmat di bawah tiga Presiden.

Bekas Pengarah Urusan Bank Dunia berkenaan pernah meraih pujian atas usaha mereformasi sistem percukaian.

Pernah dinobatkan sebagai Menteri Terbaik di Dunia pada 2018, Sri Mulyani berperanan penting dalam mengemudi ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu melalui beberapa krisis, termasuk pandemik Covid-19 serta krisis kewangan global.

BACA JUGA Ini sebabnya Fattah Amin, Amira pilih 14 September