Ancaman terhadap LNG Bintulu: Kerajaan perketat kawalan keselamatan
Kerajaan mengambil langkah proaktif bagi menjamin keselamatan fasiliti pengeluaran gas asli cecair (LNG) di Bintulu, Sarawak.
Ia susulan laporan mengenai potensi ancaman terhadap kemudahan tenaga utama negara yang terletak di kawasan seluas kira-kira 276 hektar itu.
Menerusi kenyataan hari ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan semua fasiliti LNG telah diarahkan memperketat kawalan keselamatan serta-merta sebagai langkah berjaga-jaga.
“Langkah itu penting bagi memberi ruang kepada pihak keselamatan dan agensi berkaitan menjalankan siasatan lanjut terhadap ancaman yang diterima,” menurut MKN.
Untuk rekod, kompleks LNG Bintulu yang mula beroperasi pada 1983 itu merupakan antara kompleks LNG terbesar di dunia dengan kapasiti pengeluaran 29.3 juta tan metrik setahun.
Dalam kenyataan sama, MKN menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan menggugat ketenteraman awam.
MKN turut memberi jaminan semua agensi keselamatan negara berada dalam keadaan siap siaga serta telah mengambil langkah kawalan sewajarnya.
“Setakat ini, tiada sebarang gangguan operasi atau insiden tidak diingini dilaporkan, manakala pemantauan berterusan sedang dijalankan.
“Orang awam disaran agar hanya merujuk kepada maklumat rasmi daripada pihak berkuasa dan mengelak daripada menyebarkan berita tidak sahih,” menurut kenyataan itu lagi.
BACA JUGA Nasib parti dikuasai pembelot, Hamzah dan Azmin bersaing