Emas ‘meletup’, naik 38% paras tertinggi tahun ini

Harga emas melonjak ke paras baharu apabila dolar Amerika Syarikat (AS) melemah dan hasil bon menurun.

Keadaan tersebut berlaku susulan peningkatan jangkaan terhadap langkah pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) bulan ini, sekali gus merangsang permintaan terhadap logam berharga itu.

Lapor Reuters, harga emas spot naik 0.5 peratus kepada AS$3,651.96 (lebih kurang RM15,318.88) seauns setakat 0430 GMT iaitu 12.30 tengah hari waktu Malaysia.

Sementara itu, niaga hadapan emas AS bagi penghantaran Disember naik 0.4 peratus kepada AS$3,690.90 iaitu kira-kira RM15,459.90.

“Kita mungkin akan melihat lebih banyak potensi kenaikan harga emas selepas ini jika bank pusat AS memenuhi jangkaan pasaran untuk melaksanakan beberapa kali pemotongan kadar faedah,” kata Ketua Penganalisis Pasaran KCM Trade, Tim Waterer, dipetik Reuters.

Di Malaysia, semakan mendapati harga emas hari ini naik RM493.6 per gram, meningkat sebanyak RM4.52 berbanding semalam RM489.08 per gram.

BACA JUGA Emas ‘meletup’, naik 38% paras tertinggi tahun ini