Kerajaan nyahklasifikasi laporan siasatan nahas udara pemimpin Sabah 1976
Kerajaan Malaysia bersetuju untuk mendedahkan laporan penuh siasatan nahas pesawat udara yang dikenali tragedi ‘Double Six’ membabit sejumlah pemimpin Sabah pada 6 Jun 1976.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memahami keresahan ahli keluarga mangsa terbabit dan tuntutan rakyat Sabah selama 47 tahun yang mahu mengetahui tragedi mengakibatkan pemimpin utama negeri itu terkorban.
Katanya, keputusan kerajaan menghebahkan atau dinyahklasifikasi laporan tersebut sebagai tanda keterbukaan dan ketelusan yang diamalkan Kerajaan Perpaduan.
“Selama ini kerajaan belum memutuskan untuk menghebahkan, menzahirkan atau diturun taraf (dinyahklasifikasi) di bawah seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta 88.
“Hari ini jemaah menteri mengambil kira pandangan dikemukakan oleh rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan juga tuntutan dibuat keluarga waris yang menginginkan maklumat terperinci. Ianya selari dengan dasar keterbukaan dan transparency yang diamalkan Kerajaan Perpaduan.
“Oleh demikian kita memutuskan bahawa laporan akhir siasatan kemalangan udara pesawat tersebut akan diturun taraf,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Anwar berkata semua maklumat berkaitan tragedi itu akan dihebahkan melalui kenyataan rasmi kerajaan dan Menteri Pengangkutan.
Tambahnya beliau menjangkakan laporan akhir berkenaan siasatan tragedi itu akan dibuka secara umum dalam tempoh seminggu lagi.
Double Six merupakan nahas pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia berlaku pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu Tun Fuad Stephens, empat menteri Sabah dan enam yang lain.
Kapal terbang yang dikendalikan oleh Sabah Air dalam perjalanan dari Labuan terhempas di daerah Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Dalam kejadian pada 6 Jun 1976, Fuad yang baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai ketua menteri maut bersama 10 yang lain termasuk menteri negeri apabila pesawat GAF Nomad yang dinaiki terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.
Mereka yang maut termasuk menteri negeri Salleh Sulong, Chong Thien Vun dan Peter Mojuntin.
Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas itu bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.
Siasatan selesai kira-kira empat bulan kemudian, tetapi laporan penuh tidak didedahkan kepada umum. Sebaliknya, ia diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memerintahkan kerajaan menyahklasifikasi laporan nahas pesawat itu.
Hakim Christopher Chin mengeluarkan perintah untuk memaksa kerajaan mendedahkan kepada umum dokumen mengenai nahas itu dan memberi Putrajaya sehingga 8 Jun untuk mematuhinya.
Keputusan oleh Chin adalah untuk tuntutan mahkamah yang difailkan oleh bekas ketua menteri Sabah Harris Salleh.
BACA JUGA: Anwar pertimbang tambah peruntukan khas Sabah