Grand Final Beat Thalaivan 2025 Pertandingan DJ Kebangsaan – YB Gunaraj

FOTO BERITA: Sidang Media oleh YB Dr. Gunaraj George, ADN Sentosa Merangkap Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat Kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor mengenai Grand Final Beat Thalaivan – Pertandingan DJ Kebangsaan Bertema : “One Stage • One Champion” di Draksh Mahaal PJ, 40-2, Petaling Utama Avenue, Jalan PJS 1/50, Taman Petaling Utama, 46000, Petaling Jaya, Selangor. 9hb September 2025 (Selasa)

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa merangkap Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, YB Dr. Gunaraj George, hari ini mengumumkan penganjuran Grand Final Beat Thalaivan – Pertandingan DJ Kebangsaan yang akan berlangsung pada 15 Oktober 2025.

Sidang media tersebut diadakan dengan menampilkan maklumat rasmi mengenai acara yang dijangka menjadi antara pertarungan muzik elektronik paling berprestij di Malaysia.

Bertemakan “One Stage • One Champion” atau “Satu Pentas, Satu Juara”, Beat Thalaivan menghimpunkan DJ terbaik tanah air untuk berentap di pentas mega, menonjolkan kreativiti, inovasi adunan muzik dan penguasaan persembahan yang memukau.

Menurut Dr. Gunaraj, penganjuran Beat Thalaivan selaras dengan agenda kerajaan negeri Selangor untuk menjadikan negeri ini hab pembangunan bakat, seni kreatif, dan hiburan produktif generasi muda.

“Pertandingan ini bukan sekadar pertandingan DJ semata-mata. Ia adalah platform memperkasa belia, menggilap bakat, dan membina keyakinan diri. Beat Thalaivan menyatukan kreativiti, budaya dan tenaga anak muda Malaysia, sekaligus mencipta ruang untuk mereka bersinar di pentas kebangsaan,” katanya ketika sidang media.

Sejak pendaftaran dibuka pada 10 September 2025, Beat Thalaivan telah melalui beberapa fasa termasuk sesi uji bakat pada 26 September dan pusingan separuh akhir pada 5 Oktober. Kini, hanya yang terbaik akan mara ke pentas final pada 15 Oktober untuk merebut gelaran juara.

Selain sijil penyertaan, pemenang dan finalis bakal merebut hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan melebihi RM12,000, menjadikan pertandingan ini antara yang paling bernilai dan berprestij dalam industri muzik DJ tanah air.

Lebih istimewa, Grand Final Beat Thalaivan akan dipersembahkan dengan produksi pentas mega, menggabungkan muzik, cahaya dan visual yang mendebarkan, menjanjikan pengalaman luar biasa kepada penonton.

Dengan sokongan padu pelbagai pihak, Beat Thalaivan 2025 dilihat bukan sahaja sebagai medan pertandingan DJ, tetapi juga sebagai inisiatif memperkukuh komuniti seni kreatif, memperkasa bakat belia dan menjadikan Selangor sebagai pusat hiburan serta budaya moden Malaysia.