Israel dan AS abai kedaulatan Qatar, ini gesaan AMANAH kepada PM Anwar
Biro Antarabangsa AMANAH menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menarik balik jemputan yang diberikan kepada Presiden Trump untuk menghadiri Mesyuarat ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan.
Pengerusinya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, gesaan itu susulan tindakan Israel secara terang-terangan menghina kedaulatan Qatar dan undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata, kebiadaban rejim Zionis itu mengebom perunding Hamas di Doha yang telah mengejutkan dunia harus menyedarkan Amerika Syarikat (AS) tentang perangai sebenar Israel.
“Wakil biro politik Hamas ketika itu sedang menyertai rundingan yang dimulakan Trump bagi membebaskan tebusan Israel yang ditahan di Gaza serta berusaha mencapai gencatan senjata.
“Perkara ini seharusnya menyedarkan Trump dan AS bahawa Israel berhasrat untuk meneruskan perang di Gaza dan berniat menggagalkan rundingan tebusan serta gencatan senjata,” tegas beliau menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, dunia dikejutkan dengan serangan rejim Zionis Israel hari ini di Doha, Qatar, yang menyasarkan pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayya.
Hamas kemudian mengesahkan enam individu terbunuh dalam insiden tersebut, termasuk dilaporkan seorang anggota pasukan keselamatan Qatar dan Humam al-Hayya yang merupakan anak kepada Khalil.
Antara turut syahid ialah pengarah pejabat Hamas, Jihad Labad Abu Bilal, bersama tiga pengawal peribadi.
Mengulas lanjut, Raja Bahrin menyifatkan Israel kelihatan berniat menggagalkan sebarang proses damai ketika Qatar bertindak sebagai pengantara yang sangat positif bagi pembebasan tebusan dan gencatan senjata Gaza.
“Israel sekali lagi jelas menunjukkan kekebalan dan pengabaiannya terhadap usaha Amerika Syarikat dan Qatar dalam mencapai keamanan antara Palestin dan Israel.
“Dipercayai Israel telah memaklumkan Amerika Syarikat sebelum serangan terbaru di Doha, justeru menjadikan AS turut terlibat dalam tindakan tersebut kerana dipercayai pesawat dan senjata buatan AS digunakan dalam serangan itu,” ujar beliau lagi.
BACA JUGA Kecoh di Thailand bila transgender hina gadis Islam kerana agamanya