Di mana menantu Mahiaddin? Ini penjelasan terkini SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan usaha mengesan ahli perniagaan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata beliau turut mendengar khabar angin, Muhammad Adlan berada di Asia Barat.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan negara terbabit yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia itu.

“Usaha mengesan beliau masih dijalankan dan kita (SPRM) sudah membuat satu tindakan semalam dan berharap Kementerian Dalam Negeri akan bersetuju permohonan membatalkan pasportnya.

“Kita juga masih berbincang dengan negara terbabit bagaimana cara untuk membawanya pulang semula ke negara ini,” jelasnya.

Azam berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan Angkatan Koperasi Malaysia (ANGKASA), di Wisma Ungku A. Aziz, di Kelana Jaya, Petaling Jaya, hari ini.

SPRM mula mengesan Adlan Berhan, serta peguam Mansoor Saat sejak Mei 2023 bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Kedua-duanya dikenal pasti sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

Ekoran itu, SPRM memohon Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis merah bagi mengesan lokasi kedua-dua individu yang dikehendaki tersebut.

BACA JUGA Israel dan AS abai kedaulatan Qatar, ini gesaan AMANAH kepada PM Anwar