10,000 Murid Sekolah Rendah Bandar Tun Razak Bakal Nikmati Sarapan Berkhasiat di Bawah Inisiatif MADANI – YBM Dr. Zaliha

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Program Sarapan Pagi MADANI Parlimen Bandar Tun Razak oleh YBhg Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri di SK Seri Pemaisuri Jalan 6/106. Bandar Sri Permaisuri Kuala Lumpur. 11hb September 2025 (Khamis)

Program Sarapan Pagi MADANI Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak telah dirasmikan oleh YBhg Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu majlis di Sekolah Kebangsaan Seri Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur pagi tadi. Majlis turut dihadiri oleh Datuk Azman, wakil Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bandar Tun Razak merangkap Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri, Cikgu Aziz, Timbalan Pengarah Pendidikan; Cikgu Nadzarudin, Guru Besar SK Seri Permaisuri; serta Tuan Ir. Hayatul Kamil Termudi, Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, Dr. Zaliha menegaskan bahawa program tersebut amat penting dalam menangani isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak, merujuk kepada dapatan Tinjauan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2024 yang merekodkan 8.1% kanak-kanak mengalami masalah bantut, 14.4% berlebihan berat badan dan 13.6% obesiti.

“Lebih membimbangkan, kajian UNICEF di kawasan flat kos rendah sekitar Kuala Lumpur mendapati 22% kanak-kanak kecil mengalami masalah bantut, manakala 23% pula obesiti. Ini menunjukkan wujudnya beban berganda kekurangan zat makanan – ada kanak-kanak kekurangan nutrisi, dan ada pula terlebih kalori tanpa khasiat,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Program Sarapan Pagi MADANI dianggap sebagai langkah intervensi awal bagi memastikan murid-murid memulakan hari dengan pemakanan berkhasiat. Menurut Dr. Zaliha, selepas cuti penggal persekolahan nanti, program ini akan diperluaskan ke 13 buah sekolah rendah di Parlimen Bandar Tun Razak, melibatkan hampir 10,000 murid.

Bagi menyokong pelaksanaan inisiatif ini, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 untuk memperluaskan program ke sekolah-sekolah lain di Kuala Lumpur.

“Saya percaya setiap ringgit yang dilaburkan adalah pelaburan jangka panjang, mampu menjimatkan kos kesihatan negara dan meningkatkan produktiviti generasi masa depan. Inilah maksud sebenar ihsan dalam ruh MADANI,” katanya.

Beliau turut menyeru sektor swasta dan NGO agar bersama-sama mendukung inisiatif ini supaya keberkesanan program dapat diperluas melalui pendekatan “whole of nation” dan “whole of society”.

Beliau turut menyeru sektor swasta dan NGO agar bersama-sama mendukung inisiatif ini supaya keberkesanan program dapat diperluas melalui pendekatan “whole of nation” dan “whole of society”.

Majlis diakhiri dengan perasmian rasmi Program Sarapan Pagi MADANI oleh Dr. Zaliha dengan harapan usaha ini menjadi titik tolak kepada lahirnya generasi MADANI yang sihat, cerdas dan berdaya saing.