Tun M balas ‘kagum, hairan, tak tahu’ selepas SPRM maklumkan siasatan aset di UK

Selepas dua hari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan mengenai aset milik Tun Dr Mahathir Mohamad, baru hari ini bekas Perdana Menteri berkenaan memberi reaksi.

Namun, Mahathir dilihat menyindir tindakan SPRM berhubung dakwaan beliau memiliki harta di United Kingdom (UK).

Menerusi catatan terbaharu di media sosialnya hari ini, Mahathir berkata, beliau sendiri terkejut apabila membaca kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

“Saya kagum membaca kenyataan Tan Sri Azam Baki bahawa SPRM akan siasat harta saya di United Kingdom.

“Saya juga hairan. Rupa-rupanya saya ada harta di UK. Saya tak tahu,” tulisnya.

Mahathir secara sinis turut meminta agar maklumat mengenai aset itu dimaklumkan kepadanya supaya beliau dapat membuat tuntutan seterusnya menghadiahkan harta tersebut kepada golongan miskin.

Prosiding saman

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Langkawi berkenaan mendakwa siasatan berkaitan aset luar negara itu bertujuan melengah-lengahkan prosiding saman yang difailkan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Apabila saya saman dia, dia minta dua minggu untuk jawab saman saya. Sekarang sudah dua tahun.

“Masih tidak sanggup ke mahkamah, masih hendak tangguh. Konon saya ada harta di UK. Siasatan akan ambil masa. Tangguh lagi,” katanya.

Mahathir memfailkan saman fitnah terhadap Anwar pada 2023 dengan menuntut ganti rugi RM150 juta.

Anwar antara lain berkata bahawa Mahathir ‘membolot’ harta untuk anak-anak dan keluarga selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.

BACA JUGA PM kecam serangan terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi, arah siasatan segera