Cerita sebenar Kg Sungai Baru dari mulut penduduk, hasrat lama majoriti mahu pembangunan

Pengerusi Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus tampil mendedahkan sisi cerita sebenar pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang menurutnya jauh berbeza daripada gambaran tersebar di media sosial.

Katanya, pembangunan kawasan itu adalah hasrat majoriti penduduk sejak sekian lama yang mahu melihat ekonomi bumiputera di bandar berkembang dan masyarakat Melayu di Kuala Lumpur menikmati kediaman yang lebih selesa.

Malah, projek pembangunan semula itu lahir daripada inisiatif penduduk sendiri di mana mereka yang pergi mencari pemaju dan bukan pemaju mencari mereka.

“Persatuan kami ditubuhkan pada 2016 oleh generasi terdahulu yang melihat keadaan rumah semakin uzur manakala pajakan tanah pula semakin singkat.

“Majoriti penduduk pada waktu itu sedar mereka tidak mampu membaiki rumah sendiri maka diputuskan untuk mencari pemaju bagi membangunkan semula kampung ini.

“Jadi jangan salah faham, bukan pemaju yang datang cari kami tetapi kami yang keluar mencari pemaju,” katanya menurut MalaysiaGazette.

Sanita mendedahkan, pampasan yang diberikan pemaju  sangat munasabah dan tinggi malah ada yang mencecah sehingga RM1 juta hingga RM3.8 juta bagi satu unit rumah teres mengikut keluasan.

Penduduk di sana mengakui ia adalah tawaran yang sangat baik dan jarang berlaku dalam projek pembangunan semula.

Lapor portal itu lagi, hampir semua penduduk menerima pampasan tersebut termasuk yang berpindah ke penempatan sementara.

Mengenai penentangan berlarutan daripada sekelompok kecil penduduk, Sanita menjelaskan bahawa ia melibatkan pemilik rumah flat yang berdepan isu pembahagian faraid.

“Bila harta itu dibahagi sesama adik-beradik yang ramai, sudah tentu bahagian yang diterima lebih kecil. Mungkin sebab itu ada rasa tidak puas hati.

“Tetapi jangan pula perkara ini diputar belit seolah-olah keseluruhan projek ini menindas penduduk lain yang sememangnya mahukan pembangunan ini,” tegasnya.

Bagi pemilik rumah teres, selain pampasan mereka turut menerima bayaran sewa bulanan sebanyak RM2,500 selama lapan tahun.

Semua pampasan utama telah dibayar sejak 2023 malah difahamkan bagi mereka yang tidak bersetuju, isu tersebut dibawa ke mahkamah dan telah melalui proses sewajarnya.

Lebih 220 keluarga telah menandatangani perjanjian dengan pemaju dan akan kembali mendiami Kampung Sungai Baru setelah projek siap.

“Datanglah ke pejabat persatuan, bertanya terus kepada kami atau berbincang dengan pemaju. Jangan mudah terpedaya dengan cerita separuh benar. Projek ini adalah usaha penduduk sendiri demi masa depan anak cucu kami,” katanya lagi seperti dilapor.

BACA JUGA Orang lain guna Akta Pengambilan Tanah, orang lain dipersalahkan