Malaysia terus melangkah maju, kerajaan bakal gubal akta khusus kawal selia bas tanpa pemandu
OLEH A. ZAHID
Kemunculan kenderaan autonomi (AV) bukan lagi sekadar eksperimen futuristik, tetapi realiti yang sudah menunggu di pintu masuk teknologi global.
Demonstrasi bas elektrik tanpa pemandu berasaskan 5G di Cyberjaya baru-baru ini adalah bukti jelas bahawa Malaysia tidak mahu ketinggalan dalam perlumbaan inovasi pengangkutan awam.
Namun, seperti yang ditegaskan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, aspek undang-undang adalah halangan utama yang perlu dibereskan segera.
Beliau berkata, “Sekarang kita perlu lihat kepada perundangan sebab semua tahu kalau di Malaysia belum ada peruntukan sedemikian, contohnya jika mahu bawa bas perlu ada lesen PSV.
Maka bila ada bas tanpa pemandu, kita perlu buat pindaan undang-undang dan itu boleh diuruskan kerana kementerian kita bersifat terbuka.”
Persoalan asasnya ialah: Bagaimana mahu mengkomersialkan bas tanpa pemandu jika lesen PSV masih diwajibkan untuk “pemandu”? Inilah dilema undang-undang kita yang masih berpaksikan sistem tradisional.
Oleh itu, langkah kerajaan untuk meminda undang-undang agar lebih selari dengan perkembangan teknologi adalah tindakan tepat pada masanya.
Malaysia tidak boleh menunggu hingga teknologi ini matang di negara lain baharu kita bertatih mengikut jejak.
Kerjasama antara Digital Nasional Berhad (DNB), Ericsson, dan eMooVit Technology membuka jalan ke arah sistem pengangkutan awam yang lebih selamat, mesra alam, dan pintar.
Percubaan yang merangkumi pemantauan masa nyata, sambungan Wi-Fi awam, serta pengumpulan log perjalanan bukan sekadar inovasi teknikal, tetapi juga pelaburan kepada kepercayaan penumpang.
Dalam konteks lebih luas, ini juga tentang daya saing negara. Singapura, Jepun, dan Korea Selatan sudah bergerak pantas dalam ujian AV mereka. Jika Malaysia lambat menggubal dasar, kita akan sekali lagi berada dalam posisi sebagai “pengguna teknologi” dan bukannya “peneraju teknologi”.
Sudah tiba masanya undang-undang kita tidak lagi menjadi penghalang, tetapi pemangkin.
Pindaan ini akan menentukan sama ada Malaysia berani melangkah sebagai negara yang bersedia mengintegrasikan kenderaan autonomi dalam ekosistem pengangkutan awam, atau sekadar kekal sebagai penonton kepada perubahan global.
BACA JUGA Amaran buat Tun Faisal daripada pimpinan bahagian Bersatu