Kg Sungai Baru: Konsep persetujuan majoriti boleh dipakai demi kemaslahatan – Mufti Perlis
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin tampil mengulas mengenai polemik isu pembangunan Kampung Sungai Baru semalam sehingga mencederakan seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas.
Katanya, perbuatan mencederakan anggota polis yang sedang menjalankan tugas adalah perbuatan menyedihkan dan tidak wajar.
Beliau menegaskan bahawa dalam banyak isu yang menyentuh kepentingan umum, pandangan majoriti perlu diutamakan, dengan mengambil contoh fatwa “majority rules” sebagai asas.
Beliau turut memberi analogi berhubung pembahagian harta keluarga dengan mengambil contoh tanah seluas 10 ekar yang dimiliki lima adik-beradik, namun hanya empat bersetuju manakala seorang lagi tidak.
Situasi seperti itu, jelasnya, boleh menyebabkan harta terbengkalai sekali gus memerlukan kuasa majoriti demi kebaikan bersama.
“Kita mengecam. Menyedihkan apabila mencederakan anggota polis. Dia menjalankan urusan dia dan apa yang saya faham dalam isu tersebut (Kampung Sungai Baru), majoriti orang telah bersetuju
“Kalau kita tengok dalam fatwa kita pun (iaitu) majority rules, (perlu ada) majoriti setuju. Contoh bapa tinggalkan 10 ekar tanah. Ada lima adik-beradik. Empat adik-beradik semua setuju tanah dibahagikan secara faraid. Mai sorang tu dia tak mau.
“Dia kerja bangkang. Dia duit banyak tak apa lah. (Dalam kes ini) boleh tak pemerintah mengatakan harta itu boleh diuruskan, dibahagikan? Boleh. Yang lain akan dapat walaupun dia tak setuju,” katanya dalam satu tazkirah pagi ini.
Justeru Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, konsep majoriti boleh dipakai dalam pengurusan harta umat Islam supaya ianya tidak terbengkalai .
“Kalau babit harta-harta lain…orang ini tak setuju, tak mahu tandatangan sehingga harta terbengkalai…akhirnya jadi berbilion ringgit harta orang Islam yang mungkin hartanya tak boleh dikendalikan.
“Boleh tak digunakan kuasa majoriti supaya kuasa majoriti itu menentukan supaya hal harta ini boleh diuruskan? Di negeri Perlis kita kata boleh untuk kemaslahatan harta umat Islam,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Kesianlah makcik pakcik dah empat tahun tunggu rumah tak siap-siap