Puji pembunuhan Charlie Kirk? Ini tindakan bakal diambil AS
Amerika Syarikat (AS) memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap warga asing yang memuji, mempertahan atau memperlekehkan penyokong kuat Israel, Charlie Kirk.
Timbalan Setiausaha Negara AS, Christopher Landau, berkata, pegawai konsular sudah diarahkan untuk mengambil tindakan terhadap individu yang dianggapnya mengagung-agungkan keganasan dan kebencian.
“Saya amat jijik melihat ada segelintir individu di media sosial yang memuji atau mempertahankan pembunuhan ini.
“Justeru, pegawai konsular sudah diarahkan untuk mengambil tindakan yang sesuai,” katanya.
Bagaimanapun, Landau tidak memperincikan bentuk tindakan yang bakal dilakukan.
Pada 10 September lalu sekitar tengah hari, Kirk, 31, ditembak ketika berucap dalam sebuah acara di Utah Valley University (UVU) di Orem.
Dia mati selepas satu tembakan tepat di sebelah kiri lehernya dalam program terbuka tanpa pemeriksaan keselamatan ketat, di hadapan kira-kira 3,000 orang.
Kirk ketika itu sedang menghadiri sesi debat “Prove Me Wrong” di kampus tersebut sebagai sebahagian daripada “American Comeback Tour”.
Perbincangan terakhir melibatkan topik tembakan rambang dan kaitannya dengan golongan transgender.
Seorang pelajar bertanya, “Adakah kamu tahu berapa ramai penembak rambang yang berlaku di Amerika dalam tempoh 10 tahun lepas?”.
Lantas, Kirk menjawab, “Dikira atau tidak dikira keganasan kumpulan samseng?” sekaligus kalimat terakhir sekutu Trump itu sebelum lehernya ditembak kira-kira 20 minit selepas ucapan bermula.
BACA JUGA Dilema seorang peguam di Kampung Baru