Hak Penduduk Kampung Sungai Baru Akan Dibela Melalui Rundingan Sah, Bukan Provokasi – Mohd Hafiz

FOTO BERITA: Laporan Polis & Sidang Media oleh Mohd Hafiz Osman (Kiri) Ketua Penerangan Parti KEADILAN Rakyat (PKR) Cabang Putrajaya terhadap penghasut ketenteraman awam dimedia sosial di Pintu Masuk Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. 12hb September 2025 (Jumaat)

PUTRAJAYA, 12 September 2025 – KEADILAN Cabang Putrajaya hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran kenyataan berunsur hasutan dan provokasi keterlaluan di media sosial berkaitan isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Putrajaya, Mohd Hafiz bin Osman berkata, pihaknya memandang serius kandungan yang dimuat naik oleh akaun media sosial tertentu yang jelas berpotensi menggugat ketenteraman awam serta menimbulkan kebencian dalam kalangan masyarakat.

“Antara bentuk kenyataan tersebut termasuklah hasutan terhadap penduduk dan orang awam untuk melawan undang-undang, tuduhan liar terhadap pemimpin serta pihak berkuasa tanpa asas, seruan bertindak ganas terhadap penguatkuasaan, serta cubaan mencetuskan ketakutan dan kebencian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memetik salah satu kandungan yang dimuat naik iaitu: “Sekarang penceroboh sedang menceroboh tanah di Malaysia ni!” yang dianggap mampu mendorong tindakan menyalahi undang-undang serta menjejaskan proses rundingan damai yang sedang dijalankan.

Menurutnya, kandungan berkenaan berkemungkinan melanggar peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan media sosial untuk menyebarkan kandungan tidak wajar.

Sehubungan itu, KEADILAN Putrajaya menggesa pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya.

“KEADILAN Putrajaya komited membela hak penduduk Kampung Sungai Baru melalui saluran sah dan rundingan adil – bukan melalui provokasi atau hasutan. Sebarang perbezaan pandangan harus disuarakan secara bertanggungjawab, berlandaskan fakta dan undang-undang negara,” tegas Mohd Hafiz.