`Jom Cari Menu Rahmah’ bantu promosi makanan dengan harga berpatutan

Kerajaan hari ini melancarkan inisiatif Jom Cari Menu Rahmah yang diharap membantu mempromosikan Menu Rahmah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata inisiatif itu juga bagi menghargai komitmen pengusaha makanan yang masih kekal menawarkan Menu Rahmah pada harga berpatutan.

Beliau berkata, melalui inisiatif itu, masyarakat setempat dapat memperoleh maklumat lebih jelas dan capaian yang lebih mudah berhubung lokasi dan tawaran Menu Rahmah, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan rakyat.

“Pelaksanaan Jom Cari Menu Rahmah berperanan bukan sahaja sebagai wadah promosi lokasi Menu Rahmah di seluruh negara, malah turut memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini mengenai premis yang menyediakan menu berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, inisiatif `Jom Cari Menu Rahmah’ bukan sahaja menampilkan hidangan berkualiti pada harga berpatutan, malah berperanan sebagai dorongan kepada lebih ramai pengusaha makanan untuk bersama menyahut usaha kerajaan dalam meringankan beban rakyat.

“Dengan sokongan pengusaha yang semakin meluas, KPDN percaya Menu Rahmah akan kekal sebagai pilihan terbaik rakyat untuk mendapatkan makanan sihat, seimbang dan berpatutan,” katanya.

Fuziah melancarkan inisiatif Jom Cari Menu Rahmah di Warung 5 Ringgit, Tanjung Gosong, Pekan, hari ini.

Sehingga semalam, ujarnya, terdapat 3,106 premis makanan dan minuman mendaftar sebagai pengusaha Menu Rahmah di seluruh negara.

Jelasnya, di Pahang seramai 401 pengusaha Menu Rahmah mendaftar, manakala di Pekan pula enam pengusaha menyertai program itu termasuk Warung 5 Ringgit yang menjadi lokasi simbolik pelancaran.

“Kewujudan Warung 5 Ringgit di Tanjung Gosong ini membuktikan pembabitan pengusaha restoran tempatan adalah pemangkin utama kepada kelangsungan inisiatif ini,” kata Fuziah lagi.

BACA JUGA RM3 bilion lonjak Sarawak jadi hab semikonduktor ASEAN