Pemuda Pas mahu partinya tampilkan calon PM, apa kata Bersatu?

Dewan Pemuda Pas Pusat menggesa parti itu membuat persiapan untuk mengetuai Perikatan Nasional (PN) serta menampilkan calon Perdana Menteri berdasarkan kekuatan politik semasa.

Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat, Khairul Nadzir Helmi Azhar melontarkan gesaan tersebut dalam usul sempena muktamar sayap parti itu di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar, hari ini.

Menurutnya, usul tersebut menegaskan bahawa Pas kini mempunyai kedudukan politik nasional yang signifikan dan sewajarnya tampil sebagai peneraju utama dalam PN.

“Selain pencapaian politik semasa, senioriti Pas sebagai parti tertua iaitu menghampiri 74 tahun pengalaman dalam politik Malaysia sejak 1951, menjadi asas kukuh bahawa parti ini mempunyai legitimasi, kestabilan dan kapasiti pentadbiran untuk memimpin negara,” katanya ketika sesi perbahasan usul.

Khairul Nadzir berkata, Pas juga mempunyai pengalaman mentadbir negeri-negeri utama selain mendakwa mempunyai kekuatan jentera akar umbi yang mantap.

Tegasnya, Pas merupakan parti teras yang mampu menawarkan calon Perdana Menteri yang berwibawa dan berpengalaman.

“Maka, usul ini sebagai satu inisiatif untuk menegaskan kedudukan Pas, meningkatkan keyakinan akar umbi dan memberi isyarat jelas kepada rakan serta lawan politik bahawa Pas sudah bersedia memainkan peranan utama dalam membentuk kepimpinan negara pada masa akan datang,” katanya lagi.

BACA JUGA Rupanya 321 individu, 1,033 syarikat selamba tidak bayar cukai hampir RM17 bilion