Iktiraf negara Palestin: Malaysia antara 142 negara undi sokong resolusi PBB

Malaysia mengundi menyokong Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) berhubung Isu Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara.

Ia tanda solidariti Malaysia bersama Palestin dan sokongan terhadap usaha menzahirkan penyelesaian dua negara yang berdasarkan persempadanan pada 1967.

Resolusi itu diterima pakai dengan majoriti besar, membabitkan 142 undi daripada negara anggota PBB semalam.

Menerusi Kenyataan Negara awal pagi tadi, Malaysia menegaskan penyelesaian dua negara mesti dizahirkan tanpa sebarang pra syarat.

Wisma Putra turut menegaskan bahawa Malaysia tetap berpegang bahawa kedaulatan dan keutuhan wilayah Palestin serta hak pulang jutaan pelarian yang dijamin undang-undang antarabangsa perlu menjadi sebahagian penyelesaian.

Dalam masa sama, Malaysia juga menggesa supaya kelemahan Deklarasi New York ditangani dengan pelan tindakan konkrit yang menjamin hak kenegaraan Palestin.

Tegas Malaysia lagi, Deklarasi New York mesti membuka laluan segera untuk menamatkan peperangan dan kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza, sekali gus mengakhiri bencana kemanusiaan di Wilayah Palestin demi menjamin keamanan yang berkekalan di Timur Tengah.

Sejak tercetusnya genosid di Gaza pada 7 Oktober 2023, menurut Kementerian Kesihatan Gaza sebanyak 64,718 korban telah dicatatkan setakat semalam.

Jumlah kecederaan pula dilaporkan mencecah 163,859 orang dalam krisis kemanusiaan yang amat besar dan menghampiri dua tahun itu.

Dalam masa sama, ribuan mangsa keganasan Israel masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan manakala yang masih hidup berdepan krisis kekurangan zat makanan dan kebuluran.

BACA JUGA Gimik tunggang tiga motosikal dalam dewan tanda Pemuda Pas tidak cakna