Kg Sungai Baru: Pemuda AMANAH Tegas Hormati Majoriti, Tuntut Pampasan Adil dan Reformasi Undang-Undang

FOTO BERITA: Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan menegaskan pendirian bahawa polemik pembangunan semula Kampung Sungai Baru (KSB) perlu ditangani secara adil, berprinsip dan berlandaskan fakta, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.

Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Faris Arriffin, berkata isu ini mesti dipandu oleh nilai keadilan sosial, hikmah serta undang-undang yang jelas, bagi menjamin kepentingan semua pihak, baik majoriti mahupun minoriti pemilik tanah.

Menurut Faris, data rasmi menunjukkan lebih 85% pemilik (melebihi 290 daripada 329 unit) telah menandatangani perjanjian bersama pemaju sebelum pengambilan tanah digazetkan. Sebahagian besar rumah lama juga telah dirobohkan, manakala majoriti penduduk kini tinggal di rumah transit, menunggu janji rumah baharu yang tertangguh lebih lima tahun.. “Projek ini telah memenuhi syarat undang-undang melalui Akta Pengambilan Tanah 1960, justeru suara majoriti mesti dihormati. Namun pada masa sama, minoriti juga berhak mendapat keadilan dan perlindungan,” katanya.

Pemuda AMANAH menzahirkan kebimbangan terhadap jurang pampasan yang terlalu besar:. Pemilik yang bersetuju ditawarkan RM1,500–RM1,800/kaki² serta unit gantian bernilai hampir RM1 juta. Pemilik yang menolak hanya ditawarkan RM400–RM600/kaki², jauh di bawah nilai pasaran yang dianggarkan RM1,000–RM1,200/kaki². Kaedah penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) turut dikritik pelbagai pihak. Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini menyatakan kesediaan untuk meneliti semula penilaian jika wujud keraguan atau penindasan.

Faris menegaskan, Islam mengiktiraf maslahat majoriti, namun menuntut keadilan kepada setiap individu, khususnya berkaitan hak milik harta. Pembangunan, katanya, mesti menepati dua syarat utama – menghormati majoriti dan melindungi minoriti – selaras dengan maqasid syariah serta Perlembagaan.

Pemuda AMANAH turut mengecam insiden keganasan termasuk kecederaan yang menimpa Ketua Polis Daerah Dang Wangi ketika operasi pengosongan rumah dijalankan mengikut perintah mahkamah. “Kami menyokong penuh seruan Perdana Menteri agar pelaku keganasan disiasat dan dihadapkan ke muka pengadilan. Hak berhimpun mesti dihormati, tetapi tidak boleh dicemari fitnah, kebencian atau keganasan,” tegasnya.

Menurut Faris, isu Kg Sungai Baru membuktikan kelemahan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang wajar direformasi. Beliau menggesa mekanisme pampasan ditambah baik melalui penilaian bebas, telus, serta proses rundingan yang lebih adil. Suara majoriti lebih 85% wajib dihormati dan hak minoriti perlu dipertahan dengan pampasan adil setara nilai pasaran. Segala bentuk keganasan atau fitnah politik mesti ditolak.

Reformasi undang-undang tanah perlu segera dilaksanakan. “Kg Sungai Baru adalah cermin ujian moral Malaysia MADANI – bagaimana kita mampu menggabungkan konsensus majoriti dengan keadilan saksama untuk semua,” kata Faris.