Dua nilai ini pastikan pengakap kekal relevan
Perdana Menteri menyifatkan pergerakan pengakap akan kekal relevan sepanjang zaman kerana nilai asas yang dipupuk persatuan itu ialah kemanusiaan dan ihsan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengakap akan relevan 100 tahun akan datang melainkan manusia itu sudah hilang kemanusiaannya.
Beliau berkata demikian pada sesi Temu Anwar bersempena Perhimpunan Agung Pengakap Johor ke-27 (PAPJ27) di Mersing, hari ini.
“Kalau manusia kekal menjadi manusia, badan-badan yang memupuk nilai manusiawi kemanusiaan atau insani yang ini, akan kekal relevan.
“Cuma tentulah, ada kemahiran (pengakap) dahulu tak cakap soal digital, tak bicara soal AI (kecerdasan buatan).
“Sekarang kita bicara soal itu. Tapi dia (pengakap) tak hilang tonggaknya. Apa tonggaknya? Kemanusiaan dan ihsan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa perpaduan di Malaysia akan terjamin jika hak majoriti Melayu dan Islam dipertahankan tanpa menafikan hak kaum lain yang juga warganegara Malaysia.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, perkara tersebut adalah asas kepada perpaduan negara yang dipegang selama ini.
“Kalau kita mahu jamin perpaduan, negara ini majoriti Melayu, Islam, mesti pertahankan hak mereka.
“Tapi negara ini juga mesti jamin hak semua warganegara (kaum) Cina, India, Orang Asli, Dayak, Kadazan,” kata Anwar lagi.
BACA JUGA Ini sebabnya peguam keluarga Zara minta tangguh sementara semua perhimpunan