Pemuda Pas jangan tunggang isu Kg Sungai Baru macam tunggang RXZ
Angkatan Muda Harapan Wilayah Persekutuan membidas Pemuda Pas Wilayah Persekutuan yang kononnya ingin menganjurkan debat antara pihak yang bersetuju dengan tidak bersetuju berkenaan pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru.
Ketuanya, Faris Arriffin mengingatkan sayap pemuda pembangkang itu agar tidak cuba mengalih perhatian dan mengambil kesempatan demi politik sempit versi penunggang agama dan bangsa yang memecah-belahkan rakyat.
“Isu sebenar bukan pada Kerajaan MADANI, tetapi kenapa pada Jun 2021, kerajaan PN sanggup ambil tanah dalam tempoh tiga hari sahaja.
“18 Jun 2021: Warta Seksyen 4 (niat ambil tanah) manakala 21 Jun 2021: Warta Seksyen 8 (sah ambil tanah).
“Ketika itu Parlimen digantung, negara dalam PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), rakyat langsung tak ada suara.
“Adakah ini penyebab kepada sebahagian penduduk rasa mereka dapat pampasan yang tidak setara?” soalnya dalam kenyataan sebentar tadi.
Merampas tanah
Terdahulu, Pas kelihatan istiqamah menunggang isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru dan menakut-nakutkan rakyat dengan akibat jika Rang Undang-undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) diluluskan.
Walhal, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2021 yang juga terdiri daripada Pas ketika itu menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk merampas tanah tersebut sebelum menyerahkannya kepada pemaju.
Sebahagian penduduk bersebelahan Kampung Baru itu enggan mengosongkan kediaman mereka kerana tidak berpuas hati dengan nilai pampasan dan bentuk penempatan semula serta proses pengambilan tanah yang tidak telus.
Mengulas lanjut, Faris turut menyenaraikan beberapa fakta kronologi berkaitan iaitu:
• BN (2016-2017): Tawar RM400/kaki².
• PH (2018-2020): Naikkan RM850-RM1,000/kaki².
• PN (2021): Janji manis RM3,000/kaki², tetapi realiti pampasan kekal RM400/kaki².
• MADANI (2022-2024): Betulkan semula-pakej pampasan RM900,000 hingga RM3.8 juta per rumah, elaun sewa dan flat transit percuma.
Sehubungan itu, Faris yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional mengingatkan Pas supaya tidak melaga-lagakan penduduk dan mengeruhkan keadaan sekiranya mahu berdebat.
Beliau menyarankan supaya Pas mengaturkan debat melibatkan tiga bekas Menteri Wilayah Persekutuan.
Mereka ialah Khalid Samad (2 Julai 2018 – 24 Februari 2020 dalam Kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Annuar Musa (10 Mac 2020 – 16 Ogos 2021 dalam Kabinet Tan Sri Mahiaddin Yassin).
Seorang lagi, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang bergelar Menteri Wilayah Persekutuan antara 30 Ogos 2021 hingga 24 November 2022 dalam Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Aturkan debat antara Khalid Samad vs Annuar Musa vs Shahidan Kassim.
“Biar rakyat tengok sendiri mantan Menteri Wilayah mana yang betul-betul bela rakyat Kampung Sungai Baru.
“Yang zalim siapa? Bukan MADANI, tapi mereka yang guna kuasa semasa darurat untuk merampas hak rakyat tanpa suara Parlimen,” tegas beliau yang juga Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan itu lagi.
BACA JUGA Rafizi dedah cubaan diugut guna video palsu, pengirim tuntut AS$100,000