Ugutan video seks AI – Najwan Halimi pemimpin PKR keempat terima ugutan

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi menjadi pemimpin PKR keempat dan pemimpin Pakatan Harapan kelima yang meneruma ugutan video seks AI.

“Dalam emel tersebut, saya turut diugut agar membayar wang sebanyak USD 100,000 sebagai timbal balas bagi mengelakkan penyebaran video tersebut,” katanya.

Sebelum ini Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Taufiq Johari, Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Subang Wong Chen turut menerima ugutan sebegitu menerusi emel.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin ialah satu-satunya pemimpin DAP yang menerima ugutan sebegitu rupa.

“Saya ingin menegaskan bahawa ugutan seumpama ini adalah satu perbuatan jenayah yang sangat serius serta bertujuan mengancam keselamatan dan menjatuhkan maruah saya,” kata Najwan.

“Saya percaya dalang di sebalik ugutan ini menggunapakai modus operandi yang sama seperti yang turut diterima oleh YB Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli, YB Wong Chen dan YB Mohammed Taufiq Johari.

“Justeru, saya menyeru masyarakat supaya berwaspada dengan sebarang bentuk penipuan atau ugutan melalui internet.

“Penyebaran kandungan palsu dan fitnah sebegini bukan sahaja mencemarkan maruah individu bahkan turut mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat,” tegasnya lagi.

BACA JUGA: Rafizi dedah cubaan diugut guna video palsu, pengirim tuntut AS$100,000