Pengambilan tanah Kampung Sungai Baru

OLEH ZULQARNAIN LUKMAN

Isu pengambilan tanah Kg Sungai Baru masih belum reda walaupun rumah telah dirobohkan. Maklumat pula bercampur baur. Maka, di sini kita cuba dapatkan maklumat daripada sumber rasmi.

FAKTA RASMI DARIPADA PERBADANAN KAMPUNG BARU

Projek Pembangunan Semula Sungai Baru, Kuala Lumpur ini telah bermula pada tahun 2016 dan ianya adalah inisiatif kerjasama swasta di antara 328 pemilik hartanah (64 pemilik lot teres dan 264 pemilik unit flat PKNS Sungai Baru) dengan Pemaju iaitu syarikat Ritzy Gloss Sdn. Bhd (Pemaju).

Melalui rundingan awal, sejumlah 219 pemilik iaitu 66.77 peratus (27 pemilik lot teres dan 192 pemilik unit flat) telah bersetuju dengan program pembangunan secara usahasama bersama Pemaju.

Setakat 15/6/2022, sejumlah 291 lot dan unit flat (27 lot teres dan 264 unit flat) yang mewakili 88.72 peratus telahpun bersetuju dengan projek pembangunan semula ini.

Pengambilan tanah bagi projek pembangunan semula Sungai Baru telah diwartakan di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) pada 21 Jun 2021. Pengambilan tanah ini membabitkan 37 lot teres, 72 unit flat dan 1 lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB). Setakat Mac 2022, proses pengambilan 72 unit flat telahpun selesai Isu yang masih berbangkit kini hanyalah yang melibatkan pengambilan 37 lot teres.

Kawasan Sungai Baru terletak dalam Kawasan Pembangunan Kampong Bharu yang diisytihar berdasarkan Warta Kerajaan Persekutuan P.U. (A) 21 bertarikh 10 Februari 2015. Keluasan kawasan Sungai Baru adalah 12.93 ekar daripada 300.73 ekar (bersamaan 4.29% sahaja) keseluruhan kawasan operasi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).

Pembangunan ini walaubagaimanapun berada di luar Kawasan Petempatan Pertanian Melayu (Malay Agricultural Settlement – M.A.S) dan tidak mempunyai sebarang sekatan pemilikan oleh orang Melayu. Pegangan tanah di kawasan Sungai Baru adalah secara pajakan bertempoh 99 tahun. Manakala tanah M.A.S di Kampong Bharu mempunyai syarat sekatan tanah yang hanya boleh dimiliki oleh orang Melayu.

Berdasarkan APT 1960, tiada sebarang peratusan persetujuan pemilik tanah disyaratkan sebelum sebarang pengambilan balik tanah dilaksanakan.

Namun dalam program pembangunan semula di Kampong Baru, pihak Kementerian telah menetapkan bahawa pembangunan semula hanya boleh dipertimbangkan sekiranya pihak pemaju berjaya memperolehi sekurang-kurangnya nilai ambang (threshold) 50 peratus persetujuan pemilik hartanah bagi menjaga kepentingan dan kesejahteraan warga terlibat.

Pewartaan di bawah Seksyen 4 APT 1960 telah dibuat melalui Warta Kerajaan Persekutuan 9400 bertarikh 18 Jun 2021, manakala pewartaan di bawah Seksyen 8 Akta yang sama telah dibuat melalui Warta Kerajaan Persekutuan No. 9412 bertarikh 21 Jun 2021.

RM50 juta iaitu bayaran deposit pengambilan tanah kepada pihak JKPTG. RM30 juta untuk kos penyediaan rumah transit dan rumah sewa kepada penduduk bersetuju sehingga rumah ganti siap dibina oleh Pemaju (rumah transit yang disediakan di Residensi Kerinchi adalah berkeluasan 900 kaki persegi berbanding dengan rumah flat sedia ada pemilik yang hanya berkeluasan 441 hingga 602 kaki persegi); dan Pemaju juga terpaksa menanggung kos pemindahan semula penduduk bersetuju pulang ke rumah asal serta kos pembaikan rumah yang telah ditinggalkan selama 6 tahun.

Pengosongan premis adalah berdasarkan kepada penduduk yang telah pun menerima Borang K (Notis Bahawa Milikan Tanah / Peletakhakan Petak Telah Diambil) APT 1960 dan telah menerima bayaran penuh pampasan bermula dari bulan Mac 2022 hingga Jun 2022.

Dalam erti kata lain harta tersebut bukan lagi milik penduduk. Tempoh pengosongan premis diberikan sehingga 31 Julai 2022 adalah untuk memberi kemudahan kepada pemilik untuk berpindah.

Pihak PKB juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan beberapa sesi perbincangan dan libat urus bersama pemaju dan pemilik 37 lot teres yang tidak bersetuju. Hasilnya pemaju telah beberapa kali menambahbaik tawaran kepada pemilik 37 lot teres yang tidak bersetuju tersebut namun telah ditolak.

Pada sesi libat urus pada 7 Jun 2022 PKB telah membentangkan persetujuan pemaju yang telah menawarkan tawaran semula usahasama yang menyamai tawaran yang dibuat kepada penduduk yang bersetuju awal untuk mengadakan perjanjian usahasama bersama Tawaran ini merangkumi insentif persetujuan perjanjian usahasama, bayaran pengosongan rumah sedia ada, bayaran pemindahan ke unit gantian, unit gantian (in-kind) serta lebihan bayaran unit gantian secara tunai, bayaran penyewaan rumah transit dan bayaran ubahsuai rumah sedia ada yang akan ditentukan oleh pihak profesional.

Setiap lot teres dianggarkan memperolehi bayaran di antara RM2.7 juta hingga 4 juta bergantung kepada keluasan tanah dan bangunan lot teres sekarang. Ini adalah tawaran yang maksimum dan terbaik oleh pemaju kepada pemilik 37 lot teres yang terlibat dengan pengambilan tanah.

Tawaran usahasama pemaju telah dikemukakan semula kepada pemilik yang tidak bersetuju dan pemilik menolak tawaran usaha sama Pemilik telah memohon supaya pewartaan Seksyen 8, APT 1960 berdasarkan Warta Kerajaan Persekutuan 9412 bertarikh 21 Jun 2022 berkenaan pengambilan tanah projek Pembangunan Semula Kawasan Sungai Baru, Kuala Lumpur dibatalkan dan dibincangkan semula dan tawaran usahasama yang lebih tinggi diberikan sekarang dengan bayaran dibuat secara tunai.

Kenyataan Media Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) 15 Jun 2022

https://www.pkb.gov.my/?p=4720

SHAHIDAN KASSIM

Petikan ini diambil daripada web INSTUN.GOV.MY (Institut Tanah dan Ukur Negara)

Pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini sedang di fasa akhir analisa dan akan diputuskan mengikut saluran undangundang.Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, beliau telah memberikan tempoh yang panjang kepada 37 pemilik rumah teres untuk berbincang dengan pemaju bagi mencapai kata sepakat.Bagaimanapun katanya, perbincangan antara kedua belah pihak itu menemui jalan buntu dan keputusan serta-merta perlu dilakukan dan tidak boleh ditangguhkan lagi.

“Proses pengambilan tanah sepatutnya dibuat pada Disember lalu, namun saya minta proses itu ditangguhkan sekejap.”Dari segi peruntukan undang-undang, saya tak boleh berbuat demikian tapi ia dilakukan bagi memberi ruang perbincangan antara kedua belah pihak, ” katanya pada siaran langsung di Facebook beliau pada Jumaat.Beliau berkata demikian sebagai mengulas status terkini bantahan melibatkan 37 pemilik rumah teres yang menggesa pewartaan pengambilan tanah terlibat bagi pembangunan semula Kampung Sungai Baru dimansuhkan.Shahidan berkata, permintaan penduduk berkenaan akan melibatkan semua pihak selain perlu mengambil kira 291 penduduk yang telah mengosongkan unit selepas bersetuju dengan projek tersebut.

“Ke mana mereka yang telah kosongkan rumah ini akan dipindahkan, mereka tak boleh pindah ke rumah lama kerana rumah lama telah rosak.”(Kerajaan) kena juga bayar ganti rugi kepada pemaju dan jumlahnya melibatkan kos yang tinggi, https://pintu.instun.gov.my/…/analisa-pengambilan-tanah…

TUAN IBRAHIM TUAN MAN

“Ini isu lama yang bukan baru-baru berlaku… isu lama yang kita perlu tengok balik.

“Kerajaan sebelum ini, kalaupun dia luluskan, kerajaan yang sekarang ada kuasa batal…kalau kita tak setuju dengan perkara sebelum ini, kita boleh perbetulkan,” katanya ketika diminta mengulas berhubung pengambilan tanah di situ yang bermula ketika pentadbiran PN pada 2021.

Dia berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) di Dewan Gandhi di Sungai Petani, Kedah, 13/9/2025 https://www.malaysiakini.com/news/755128

KESIMPULAN

Projek pembangunan Kampung Sungai Baru ini adalah sebahagian kecil daripada pembangunan semula Kg Baru. Kampung Sungai Baru ini adalah hanya kira-kira. 4.299% daripada keseluruhan projek.

Majoriti penduduk telah bersetuju. Keseluruhan pemilik rumah flat telah bersetuju. Hanya 37 pemilik daripada 64 pemilik rumah teres tidak bersetuju.

Keseluruhan penduduk telah menerima pampasan termasuk yang tidak bersetuju. Setiap pemilik rumah teres menerima pampasan antara RM2.7 hingga RM4 juta.

Kenyataan Shahidan Kassim bahawa KSN bertanggungjawab adalah tidak tepat. KSN hanya menjalankan arahan kerajaan yang diputuskan oleh Menteri dan Kabinet selaras dengan Seksyen 3A(1) Akta Pengambilan Tanah 1960. Projek pembangunan Kg Baru ini secara prinsip dipersetujui oleh kerajaan BN, PH, PN dan Perpaduan. Tetapi masing-masing ada reservation contohnya Khalid Samad tidak bersetuju dengan penggunaan Akta Pengambilan Tanah dan terus berunding sehingga ada penyelesaian tetapi Shahidan Kassim bersetuju dengan penggunaan Akta Pengambilan Tanah.

Tuan Ibrahim Tuan Man pula hanya ‘nasi tambah’. Dia tidak faham isu dan tidak faham pun proses pengambilan tanah. Yang dia faham jika kerajaan ada kuasa untuk ambil maka kerajaan ada kuasa untuk batal. Cara fikir begini adalah separuh masak sebab kos pembatalan itu akan ditanggung oleh kerajaan melalui cukai rakyat.

Dan kos pembatalan itu akan memberi kesan kepada keseluruhan projek pembangunan Kampung Baru yang nilainya berbilion ringgit. Untuk projek pengambilan tanah ini sahaja pun pemaju sudah deposit RM50 juta kepada pejabat tanah.

Ini belum masuk lagi kos pemindahan dan rumah transit serta kerugian ekonomi. Entah macam mana Pemuda PAS boleh calonkan orang macam ini untuk menjadi Perdana Menteri. Kata Almarhum Dato Ismail Kamus ada spesis manusia yang kamu nampak bodoh, tetapi jika dia bercakap dah confirm orang itu bodoh.

Jujurnya gabungan rundingan dan Akta Pengambilan Tanah ini adalah cara terbaik untuk melaksanakan projek pembangunan. Jika sudah dirunding dan pemilik masih berdegil maka jalan keluar hanyalah dengan pengambilan wajib melalui Akta Pengambilan Tanah.

Sebab itu sebaiknya penduduk menggunakan masa rundingan itu untuk mendapatkan nilai terbaik untuk tanah mereka. Justeru, sepatutnya Shahidan Kassim boleh sahaja mempertahankan pendirian kerajaan masa itu untuk menggunapakai Akta Pengambilan Tanah tanpa rasa apologetik dan tanpa menyalahkan KSN selaku penjawat awam.

Ini kamu yang buat dasar tetapi kamu letak pula kesalahan kepada penjawat awam. Inilah yang orang marah kepada menteri yang semacam ini.


ZULQARNAIN LUKMAN ialah pengerusi KANUN, AMANAH