PM Anwar dianugerah Imam Khalifah Agong, RM2 juta gerakkan Pendekar Madani

Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar dianugerahkan sebagai Imam Khalifah Agong ‘Sri Tri Buana Simanjakini Gangga Chula Sakti’ oleh Datuk Dr Raja Abdul Majid Raja Mat Isa mewakili Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia.

Dalam Himpunan Pendekar Madani di Bukit Mertajam, hari ini, Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk tujuan menggerakkan kegiatan Pendekar Madani bagi semua badan pertubuhan silat di negara ini.

Beliau berkata, seni mempertahankan diri dapat memupuk sifat disiplin, beradab, berakhlak dan rasa saling hormat sesama bangsa.

“(Pesilat), orang yang kental semangatnya, orang yang disiplin, orang yang berakhlak mulia, yang benci dengan kezaliman, benci dengan penindasan serta benci dengan buli di kalangan kita.

“Hebatnya orang Melayu kerana semangat dan disiplin, tahu adab, tahu akhlak, tahu hormat sama-sama Melayu serta hormat pada bukan Melayu serta tahu menjaga negara ini dengan aman, adil dan bahagia bagi semua yang bukan menanam semangat untuk benci pada orang,” katanya dalam program yang dihadiri lebih 10,000 pesilat di Kampus Politeknik Seberang Perai (PSP).

Sehubungan itu, Anwar menyeru pengurusan sekolah, institut pengajian tinggi (IPT) serta institut pendidikan guru (IPG) di seluruh negara menyokong dan menghidupkan penubuhan kegiatan ‘Pendekar Madani’.

Ia adalah dalam usaha membolehkan institusi berkenaan melahirkan lebih ramai pesilat dalam kalangan belia sekali gus mengangkat martabat dan darjat bangsa.

Anwar percaya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dapat membantu menggerakkan kegiatan itu ke sekolah-sekolah sebelum ia digerakkan ke IPT dan IPG sebagai satu kegiatan menyatukan semangat anak muda.

“Yang kita sebut negara Madani dan kini pendekar Madani, kita menghidupkan semangat yang sudah berjalan dan saya percaya Menteri Pendidikan akan gerakkan kegiatan ini.

“Pendekar madani masing-masing persatuan (silat) tak ada masalah bagi saya, tetapi ada satu saluran utama.

“Kita adalah satu bangsa, satu budaya dan seni pertahankan diri ini bukan untuk bermegah, bukan untuk angkuh, bukan untuk sombong tapi untuk melatih anak-anak bangsa kita dan kita akan pastikan semua sekolah kita mendukung semangat Pendekar Madani ini.

“Dan seterusnya di Politeknik di Institut Pendidikan Guru (IPG), institut pendidikan tinggi (IPT), kita akan hidupkan ini sebagai suatu kegiatan yang menyatukan semangat anak-anak muda dengan satu matlamat, mengangkat martabat harkat dan darjat bangsa ini,” kata Perdana Menteri lagi.