Dilema seterusnya seusai Muktamar Pas
Muktamar Pas ke-71 melabuhkan tirai semalam selepas bersidang selama empat hari.
Buat pemerhati politik, muktamar ini penting kerana Pas merupakan komponen penting Perikatan Nasional.
Berbanding parti komponen lain, tiada yang dapat menandingi Pas dari sudut keahlian mahupun jentera.
Namun apa yang terserlah di dalam sesi muktamar ini seolah-olah Pas mahu menolak kepimpinan PN yang berada di tangan Bersatu.
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mahu calon perdana menteri yang kurang daripada 70 tahun dan sihat.
Sayap pemudanya pula telah mencadangkan beberapa nama termasuk Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon perdana menteri.
Ia sebagai balasan kepada usul yang diluluskan oleh Bersatu untuk menjadikan Tan Sri Mahiaddin Yassin calon perdana menteri PN.
Tekanan Pas itu dirasakan begitu keras sehingga memaksa Mahiaddin mengumumkan bahawa calon untuk PN akan diputuskan oleh PN.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga adalah pengarah pilihan raya Pas sudah memberikan amaran bahawa Bersatu mendapat jalan mudah untuk bertanding tanpa memberi sumbangan jentera mahupun dana.
Ini kerana dana penting untuk kempen politik sesebuah parti.
Pas Pulau Pinang pula mengasak rakan komponen, Parti Gerakan Rakyat Malaysia bagaikan pemandu Ferrari yang tidak tahu memandunya.
Ini kerana Gerakan gagal memenangi satu kerusi pun di Pulau Pinang.
Umum juga mengetahui bagaimana Pas menolak pencalonan presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau di Bayan Lepas ketika pilihan raya negeri.
Berbalik kepada soalan calon perdana menteri, Pas boleh mengetengahkan calonnya kerana ia mempunyai bilangan anggota Ahli Parlimen teramai dari PN.
Namun sekiranya ianya diundi berdasarkan prinsip satu parti satu undi, adakah Pas akan mendapat sokongan dalam mengetengahkan calon mereka?
Selain Gerakan dan Bersatu, parti MIPP juga anggota PN.
Inilah dilema Pas yang perlukan rakan politik tetapi bertengkar dengan rakan yang sedia ada dalam PN.
BACA JUGA: Senarai Jawatankuasa Kerja Pas Pusat 2025-2027