Pas namakan calon ketua menteri Sabah? Ini respon Srikandi Bersatu Sabah

Seorang pemimpin Srikandi Bersatu Sabah telah menolak cadangan Pas agar pesuruhjaya Pas Sabah Aliakbar Gulasan dinamakan sebagai calon ketua menteri di dalam pilihan raya negeri akan datang.

Nabila Norsahar berhujah bahawa Pas tidak pernah memenangi kerusi di Sabah dan Aliakbar hanya ADUN lantikan.

“ADUN lantikan ini belum membuktikan pada dirinya untuk mendapatkan mandate rakyat di dalam pilihan raya, apa lagi mahu menjadi ketua menteri,” kata Nabila, lapor FMT.

Pas sepatutnya membuktikan kebolehan mereka dengan memenangi kerusi di dalam pilihan raya sebelum membuat cadangan sebegini, katanya lagi.

Nabila berkata demikian sebagai balasan kepada seorang pemimpin Pas Shah Alam yang mencadangkan Aliakbar dinamakan calon ketua menteri.

Nabila menambah cadangan mantan ketua pemuda Pas Selangor Sukri Omar itu tidak mencerminkan realiti politik Sabah.

“Biar pimpinan pusat PN yang memutuskan calon ketua menteri Sabah terbaik yang kita boleh tawarkan,” katanya.

BACA JUGA: Pas muflis idea, hanya jual mimpi tapi Madani tawarkan masa depan