Ada barua beri tanah pada pemaju Kampung Sungai Baru

OLEH: ZULHAZMI SHARIFF

Aku tertengok satu video ucapan seorang manusia di suatu himpunan yang mengulas isu Kampung Sungai Baru. Tak habis lagi cubaan nak salahkan orang lain. Tak habis lagi cubaan memutar belit cerita. Masih lagi nak tuduh orang zalim pada orang lain.

Masih lagi berpusing mencari jalan untuk tidak mengakui kesalahan dan yang paling penting, tidak ada ulasan atau kenyataan atau cadangan bagaimana untuk selesaikan dan bagaimana hak semua pemilik yang bersetuju dengan pembangunan.

Ini kali terakhir aku nak tulis pasal Kampung Sungai Baru.

Tanah mereka yang tak setuju diambil melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 pada Jun 2021 semasa Annuar Musa menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan. Ketika itu seluruh negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Annuar Musa menjadi menteri atas kuota UMNO yang bersama Bersatu dan PAS menjadi Kerajaan.

Annuar Musa Umno, Mahiaddin Yassin dari Bersatu sebagai Perdana Menteri.

Bermula dari situ proses pengambilan tanah berjalan dengan pendengaran untuk pampasan, bayaran pampasan dimuktamadkan dan bayaran pampasan dibuat. Bagi yang tidak setuju dengan pampasan, mereka melantik jurunilai swasta membuat nilaian dan melantik peguam untuk mencabar di mahkamah.

Proses Mahkamah berjalan dan telah selesai dengan ada penambahan pampasan. Kalau tak setuju juga, apa boleh buat. Itu keputusan Mahkamah yang dibuat melalui proses yang sah. Mahkamah putuskan.

Apabila selesai bayaran pampasan dan semuanya, Pemaju membayar premium kepada Pejabat Tanah untuk didaftarkan nama di atas geran hakmilik. Apabila premium diterima, Pejabat Tanah tiada alasan untuk tidak daftarkan atas nama Pemaju kerana tujuan tanah diambil adalah untuk pembangunan semula oleh Pemaju.

Jadi inilah BARUAnya. PEJABAT TANAH dan GALIAN WILAYAH PERSEKUTUAN.

BODOH!!!! Pegawai di Pejabat Tanah uruskan semua kerja mereka ikut proses dan prosedur. Semua proses dan prosedur tu dah ada sejak dulu dan ikut Kanun Tanah Negara.

Balik semula sebelum tanah didaftarkan kepada Pemaju, apabila tanah diambil melalui Akta Pengambilan Tanah, pemilik tak setuju lalu mereka tubuh jawatankuasa bertindak untuk lawan.

Mereka jumpa aku, jumpa Haji Khalid Samad yang ketika itu Ahli Parlimen Shah Alam dan juga mantan Menteri Wilayah. Jawatankuasa Bertindak cakap mereka bukan menentang pembangunan semula tetapi mahukan pampasan yang adil. (Aku ada bukti bertulis Memorandum Jawatankuasa Bertindak kepada Shahidan)

Haji Khalid masukkan Usul 18(1) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat supaya Dewan membahaskan isu pengambilan tanah ini melalui Akta Pengambilan Tanah.

Usul dibahaskan di dalam Kamar Khas pada 13 Disember 2022 dan dijawab oleh Shahidan Kassim yang ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan. Shahidan dengan bangga umumkan ini projek hybrid terbaik yang dibuat dan cukup adil untuk semua.

Haji Khalid minta dibatalkan pengambilan atau paling kurang naikkan nilai pampasan tetapi tidak dipedulikan. Ingat ya, waktu itu tahun 2022, sedang pengambilan pada tahun 2021. Boleh kalau nak batal dan runding semula.

Sejak itu, proses pengambilan tanah terus berjalan hingga selesai dan Pejabat Tanah berikan hakmilik kepada Pemaju.

Zalim.

Zalim kepada siapa? Kepada yang tak setuju? Sebab nilai pampasan rendah?

Majoriti penduduk setuju dengan pembangunan semula termasuk yang kata dizalimi, cuma majoriti yang lain setuju kerjasama dengan pamaju manakala yang sedikit tak setuju kerjasama.

Yang tak setuju ni ada dua sebab. Pertama sebab nilai pampasan rendah kerana terpengaruh dengan kononnya nilai tanah mereka boleh cecah RM3,000 sekaki persegi. Yang cakap tu Najib Razak duduk dalam penjara sekarang ni. Kedua sebab tak percaya dengan pemaju sebab Dato’ Johari Ghani labelkan pemaju sebagai pemaju cap ayam. Dua-dua sebab ini datang dari pemimpin Umno.

Zalim kepada yang tak setuju? Yang menzalimi mereka ialah mereka sendiri! Percaya lagi kepada cakap-cakap mengarut Najib & Jo.

Nilai tanah rendah tak adil? Mereka sudah lantik jurunilai bebas dan cabar di Mahkamah. Mahkamah dah putuskan pampasan untuk mereka. Tak adil lagi? Nak berapa? Nak RM3,000 sekaki macam Najib sebut? Esok lusa buat temujanji di Kajang, jumpa Najib minta dari dia.

Kenapa tak boleh dapat RM3,000 sekaki persegi? Nilaian JPPH atas faktor-faktor yang sudah ditetapkan. Malah nilaian oleh jurunilai swasta yang dilantik pemilik pun tak sampai RM3,000 sekaki persegi.

Tanah berstatus pajakan (leasehold) 99 tahun yang ada akan berakhir pada tahun 2078. Tiada sekatan. Tanah bukan status komersial seperti tanah KLCC.

Tanah Kg Baru yang di bawah MAS pun paling tinggi RM1,000 sekaki persegi yang ada sekatan hanya untuk Melayu. Tanah pertanian!

Jadi, soalan aku, apa lagi yang ZALIM?

Seterusnya, majoriti lebih 80% setuju pembangunan semula dan sudah berpindah dan menumpang di Kg Kerinchi menunggu rumah mereka siap. Sudah hampir 9 tahun mereka dinafikan rumah mereka kerana projek tidak boleh dimulakan. Mereka ini tak dizalimi?

Riuh rendah bercakap hak 20% yang tak setuju tapi hak 80% yang setuju siapa nak BELA?

Bagi aku yang kata orang BARUA adalah lebih BARUA dan HARAM JADAH!

Yang pakai ketayap senget riuh rendah kena tangkap tu aku harap didakwa secepat mungkin. Yang terjerit-jerit menangis konon dizalimi tu pun tolong dakwa cepat sikit. Kalau boleh hukum penjara biar mereka boleh bincang dengan Najib di Kajang macamana nak dapat RM3,000 sekaki persegi.

1) Mulanya tak setuju nilai pampasan.

2) Dah selesai hingga Mahkamah, pusing pertahan tanah warisan.

3) Lembaga MAS kata Sungai Baru bukan tanah MAS, pusing ada warta 1932 sedangkan tahun 1932 Kg Sungai Baru belum wujud. Kg Sungai Baru hanya wujud pada sekitar tahun 1960-an apabila sungai diluruskan dan ditambak menjadi kampung yang dinamakan Kg Sungai Baru.

4) Tak lepas tanah MAS, pusing pula kenapa daftar tanah kepada pemaju. Dah nak bangunkan projek mestilah bagi kepada pemaju, takkan nak bagi kat hang!

5) Dah tak lepas pusing lagi pemaju orang asing. Kalau pemaju bukan orang asing, contohnya bagi pada UDA macam cadangan Jo Ghani, tanah tu jadi tanah UDA, tetap bukan bagi balik pada pemilik asal. Haaaa kan? Projek jalan jugak kan?

JADI….!!!!!!! Cukup-cukuplah nak zalimi pemilik yang dah lama tunggu rumah mereka siap.

Sekarang masa untuk pastikan pemaju mulakan projek dan siapkan projek secepat mungkin! Jangan tergendala!

Kasihan la pada pemilik yang tunggu lebih 9 tahun rumah mereka!


ZULHAZMI SHARIFF ialah bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada mantan Menteri Wilayah, Khalid Samad