‘Leburkan sifat pelampau agama, kaum demi Malaysia’

Sikap pelampau agama dan kaum boleh menggugat kestabilan politik, ekonomi dan kelangsungan negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Ketika menyampaikan Amanat Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pulau Pinang malam tadi.

“(Sebagai) Negara merdeka dan berdaulat, (rakyat) mesti bersatu, mesti meleburkan kebencian dan prasangka antara kaum dan agama serta wilayah. Mesti menentukan bahawa sikap terlampau dengan kaum lain atau fanatik agama tidak dibenarkan.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat menjamin peluang serta kesaksamaan bagi semua kaum,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni di Pusat Konvensyen Picca@Arena di Butterworth, yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ramli Ngah Talib.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Abang Johari Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Anwar mengingatkan bahawa cabaran pimpinan negara adalah untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang dengan amalan tatakelola baik.

Beliau turut mengimbau soal kemerdekaan.

“Kemerdekaan ertinya menjamin suatu sistem ekonomi, budaya yang adil serta menjamin perpaduan dalam kalangan kita,” katanya.

BACA JUGA: Ada barua beri tanah pada pemaju Kampung Sungai Baru