AMANAH genap 1 dekad, bangga bawa gagasan Rahmah
Biarpun kemunculan AMANAH pada awal penubuhannya dipandang sinis dengan pelbagai label sinikal, namun AMANAH berjaya membuktikan pencapaiannya dengan beberapa pemimpin parti itu diberi tanggungjawab penting dalam kerajaan selain dipilih sebagai wakil rakyat.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, dalam masa 3 tahun sahaja beberapa pemimpin parti dilantik ke dalam barisan jemaah menteri, dengan ada yang menjadi menteri, timbalan menteri, ketua menteri dan Speaker DUN.
“Biarpun kemunculannya dipandang sinis dengan berbagai label seperti ‘khadam dap’ ‘pandap’, namun oleh kerana AMANAH punya identiti dan teras perjuangan yang jelas ia tetap melangkah gagah dan melemparkan balik senyuman kepada peragunya dengan pencapaian mengagumkan.
“Bukan itu sahaja, dasar besar Rahmah telah diperkenal dan diperakui oleh Majlis Raja-Raja pada 2019 dan pelaksanaan gagasan Negara Rahmah telah berjaya diterapkan dalam pentadbiran negara, alhamdulillah.
“Kemudian sekali lagi pada masa Kerajaan Perpaduan hari ini AMANAH berjaya membawa label Rahmah sebagai produk kepedulian rakyat dan kemudian dikenali sebagai label resmi Kerajaan dalam bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyifatkan perkara pokok perjuangan AMANAH kini dikenali semua rakyat melalui label Rahmah.
Ujarnya, jikalau kejayaan parti politik dinilai dalam kejayaan membawa pemikiran dan produknya, maka AMANAH telah memenuhi kriteria ini dan malah diiktiraf sebagai dasar kebajikan negara.
“AMANAH tidak ketinggalan membawa Rahmah dalam platform dakwah dan pendidikan umum serta kebajikan awam melalui Nadwah Ulamak atau NUNJI, Yayasan Rahmah dan AQWAM.
“AMANAH dikenali di hadapan memerangi pemikiran Ghuluw, memperkenalkan konsep kenegaraan melalui kerangka Siyasah Syar’iyah dan meletakkan Maqasid Syariah yang Muktabarah sebagai teras segala tindakan dan keputusan politiknya.
“Tidak syak lagi AMANAH adalah parti masa hadapan untuk rakyat Malaysia yang terbina atas teras Kepelbagaian dan Wasatiyyah. Selamat Menyambut 10 Tahun Amanah,” katanya lagi.
BACA JUGA: Tarik balik kenyataan, atau saya akan saman fitnah, Jo Ghani