Pas: Terkedepan dalam slogan politik sahaja, bukan dalam penyelesaian demi ummah
OLEH ZULQARNAIN LUKMAN
Slogan memainkan peranan penting dalam setiap organisasi. Slogan adalah penyataan ringkas yang mewakili identiti kepada sesuatu nama. Slogan ini boleh berubah-ubah. Slogan selalunya mengandungi beberapa frasa atau ayat unik yang ringkas, padat serta mudah diingati. Slogan akan membina jenama sesuatu organisasi dan membina harapan kepada penyokong. Slogan AirAsia contohnya seperti ‘Everyone can fly’ itu melambangkan misi mereka untuk penerbangan tambang murah.
Slogan ‘Dijamin sampai besok’ juga digunakan oleh sesetengah peniaga atau syarikat kurier. Syarikat makanan Adabi menggunakan slogan, ‘Bagaikan sajian istana di zaman silam’ untuk membawa mesej masakan makanannya yang mengekalkan resepi tradisi.
Dalam politik ini barangkali Pas yang paling terkehadapan apabila membuat slogan dalam setiap kali muktamar mereka.
2003 – Menuju kemenangan
2004 – Memartabatkan kedaulatan rakyat
2005 – Paksi kebangkitan perjuangan
2006 – Pulihkan demokrasi, daulatkan Islam
2007 – Selamatkan demokrasi, tegakkan keadilan
2008 – Pas untuk semua
2009 – Islam memimpin perubahan
2010 – Menuju kemenangan
2011 – Membangun negara berkebajikan
2012 – Negara berkebajikan, teras perpaduan
2013 – Rahmat untuk semua
2014 – Terus beristiqamah
2015 – Beristiqamah sehingga kemenangan
2016 – Inilah penyelesaian kita
2017 – Sejahtera bersama Islam
2018 – Islam memimpin
2019 – Islam memimpin perpaduan
2020 – Islam memperkukuh perpaduan
2021 – Islam menyatukan ummah
2022 – Malaysia sejahtera
2023 – Adil, Prihatin dan Berkebajikan
2024 – Islam adalah penyelesaian
2025 – Kembali kepada penyelesaian Islam
Jika dilihat pola penggubalan slogan Pas ini dari tahun 2003 sehingga 2013 menampakkan slogan yang berbeza-beza yang mungkin mengambil kira faktor politik semasa dan disesuaikan untuk gerak kerja parti. Namun, slogan dari tahun 2014 sehingga 2025 itu nampaknya seperti pengulangan kepada perkara yang sama. Pola yang sama diulangi setiap tahun kecuali tahun 2022 dan 2023 yang menampakkan kelainan. Kelainan ini mungkin berlaku kerana pada masa itu Pas berfikir seperti sebuah parti dalam kerajaan.
Tiada perubahan pemikiran dalam sedekad
Secara umumnya, dalam jangka masa 10 tahun itu tidak ada perubahan ketara dari segi pemikiran Pas. Kesemua slogan itu hanya ingin membawa mesej bahawa Islam itu Pas dan Pas itu Islam. Contohnya, slogan ‘Terus beristiqamah’ (2014) dan ‘Beristiqamah sehingga kemenangan’ (2015) itu tentulah istiqamah bersama Pas.
Slogan ‘Inilah penyelesaian kita’ (2016), ‘Sejahtera bersama Islam’ (2017), ‘Islam memimpin’ (2018), ‘Islam memimpin perpaduan’ (2019), ‘Islam memperkukuh perpaduan’ (2020), ‘Islam menyatukan ummah’ (2021) semuanya itu pastinya merujuk Islam versi Pas.
Ini bermakna parti lain selain daripada Pas adalah parti yang tidak Islam. Tentunya fahaman ini adalah fahaman yang sempit kerana Pas itu hanyalah sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan ROS sama seperti parti lain. Begitu juga banyak lagi organisasi yang bukan politik yang sama-sama membawa mesej Islam. Justeru, label Islam tidak patut dibolot untuk kepentingan politik sebuah pertubuhan sahaja.
Slogan 2022 dan 2023 nampaknya lebih sesuai dengan masyarakat majmuk di Malaysia. Anehnya, slogan tahun 2024 dan 2025 telah kembali semula kepada pola slogan asal Pas yang cuba meletakkan bahawa hanya Pas sahaja yang mewakili Islam. Ini menunjukkan bahawa idea politik Presiden Pas ini tidak konsisten. Sekejap progresif dan sekejap regresif. Kecenderungan untuk kembali kepada idea asal (atau asolah) Pas ini menunjukkan tiada perubahan ketara mengenai cara berfikir tradisional dan sikap yang terkongkong dengan belenggu pemikiran lampau.
Jika dilihat keseluruhan ucapan dasar Presiden Pas 2025 setebal 34 mukasurat itu lebih kepada membawa mesej bahawa Pas sahaja yang membawa Islam dan parti lain semuanya gagal membawa Islam.
Seperti mana kebiasaan, Presiden Pas ini gemar untuk membawa falsafah Islam secara makro berbanding mikro. Falsafah makro itu sebenarnya sudah diterima ramai dan tiada pertikaian. Contohnya apabila kita menyatakan Islam sebagai petunjuk yang sempurna maka itu sudah ada dalil naqli yang menunjukkan hal tersebut. Namun, tindakan Presiden Pas memperlekehkan tamadun Barat juga bukanlah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam. Malah, ilmu teknologi seperti AI, cip komputer, kecanggihan peralatan elektronik itu sendiri banyak berkembang di Silicon Valley berbanding di tempat lain di dunia ini.
Apa penyelesaian Islam Pas? Tapi kritik Madani bertalu-talu
Soalnya apakah dia penyelesaian Islam yang dimaksudkan oleh Presiden Pas. Beliau menyatakan perlu mempertahankan kedudukan Islam dalam Malaysia tetapi apakah dia butiran kedudukan Islam yang terhakis telah gagal dibuktikan dengan jelas. Sesuatu negara itu ditubuhkan dan berpaksikan kepada Perlembagaan dan dalam konteks Malaysia, Perlembagaan Persekutuan sudah jelas meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan pentadbiran Islam di setiap negeri sudah dikawal selia oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Sultan sebagai Ketua Agama Islam.
Presiden Pas juga menyatakan slogan Malaysia Madani dijadikan slogan untuk menipu rakyat dengan kefahaman yang sempit tanpa ilmu. Ini adalah satu retorik yang tidak dipaksikan kepada kenyataan kerana teras Malaysia Madani itu sendiri diasaskan kepada enam teras utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Kesemua enam teras ini selari dengan ajaran Islam
Kemudiannya, Presiden Pas juga menyatakan bahawa dasar ekonomi Malaysia ini perlu ditangani berdasarkan pendekatan negara hidayah dan negara jibayah. Negara hidayah ini bermula dengan pembangunan insan yang berintegriti dan berprinsipkan akidah dan negara jibayah ini berprinsipkan kebendaan yang bergantung kepada kebendaan yang berasaskan hasil cukai atau bukan cukai. Dikatakan pula peruntukan kewangan yang dibuat adalah tidak mengira halal atau haram, adil atau zalim dan menyatakan bahawa sistem zakat dan percukaian Islam yang betul. Kemudian disebut pula negara terbeban dengan hutang yang banyak dan dihinggap dengan penyakit dosa riba. Kemudian beliau menyebutkan bahawa ekonomi harus dirakyatkan supaya limpahan ekonomi dinikmati oleh rakyat terbanyak.
Ini adalah satu ‘sweeping statement’ yang jelas mengarut dan tidak berpaksikan kepada realiti. Contohnya pemberian bantuan SARA RM100 itu kepada seluruh rakyat itu adalah satu pendekatan ekonomi yang realistik untuk menambahkan kitaran ekonomi domestik tatkala berlaku ketidaktentuan ekonomi global gara-gara tariff Trump.
Ramai golongan B40 yang mendapat faedah daripada skim ini manakala bagi golongan T20 boleh menggunakan peruntukan itu untuk berbakti kepada pihak yang lebih memerlukan. Tambahan lagi, PMX pun sudah jelaskan bahawa jika ada mahakaya yang tidak mengambil peruntukan itu maka ianya akan dikembalikan kepada Consolidated Fund pada akhir tahun.
PMX juga telah membuat dasar fiskal yang jelas iaitu menurunkan jumlah hutang negara dan penurunan jumlah pinjaman negara juga telah dibuktikan dari tahun ke tahun. Malah, tatakelola pengendalian ekonomi negara juga telah diperkemaskan dengan beberapa akta yang akan mengikat Menteri Kewangan seperti Akta Perolehan Kerajaan 2025, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 dan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Sehingga sekarang tiada mana-mana pemimpin Pas yang berani untuk menyatakan sama ada Pas menyokong GST atau SST. Adakah Pas mahu memerintah Malaysia dan menghapuskan kedua-dua sistem GST atau SST dan hanya mentadbir negara menggunakan zakat sahaja?
Apakah pula sistem percukaian Islam yang dikatakan oleh Pas itu? Adakah semata-mata cukai kharaj (semacam cukai tanah) dan jizyah (cukai ke atas bukan Islam) itu yang ingin diperkenalkan oleh Pas. Adakah Pas tidak setuju supaya subsidi disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan atau Pas mahu mengekalkan subsidi secara pukal? Hal-hal ini yang sepatutnya diperincikan oleh Presiden Pas dalam ucapan dasarnya. Malangnya, tiada sesiapa pun di dalam AJK Pusat yang berani membuat teguran tersebut.
Akhir sekali, apa yang dikatakan sebagai kembali kepada penyelesaian Islam itu hanyalah berkisar kepada bagaimana untuk membawa Pas untuk menang PRU 16 sahaja. Katanya, mesti ada kumpulan Islam yang setia kepada Allah SWT dan rasulullah SAW dan istiqamah seperti Pas. Ahli-ahli perlu wala’ kepada kepimpinan, mesti ada yang kumpulan yang menyatukan bangsa Melayu dan mesti terus masuk pilihan raya.
Beliau juga menyatakan mesti mempertahankan empat negeri yang diperintah Pas dan mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku penasihat SG4.
Kesimpulan
Slogan ‘Kembali kepada penyelesaian Islam’ adalah hanya slogan politik untuk memberikan harapan kepada ahli-ahli PAS untuk terus masuk pilihan raya dan memenangi lebih banyak kerusi serta menakluk beberapa negeri lain seperti iaitu Pahang, Perak dan Selangor.
Di dalam ucapan dasar itu tidak memperincikan apa pun mengenai penyelesaian Islam. Tidak ada apa-apa perkara baharu yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai sama ada dari segi teori atau praktikal.
Malah, banyak pula persoalan mengenai penyelesaian Islam secara mikro yang gagal ditangani oleh Pas memandangkan isu-isu di negeri Pas memerintah pun tidak ditangani sama ada secara penyelesaian secara Islam contohnya seperti isu air berkarat, isu rampasan dadah jutaan ringgit, isu penyeludupan, isu salah laku seks di kalangan mudir agama, isu ekonomi dan pekerjaan rakyat, isu perparitan, isu banjir kilat, isu sampah dan isu sosial di Kelantan.
Isu bagaimana cara Yayasan Islam Kelantan mengendalikan kes Allahyarham Wan Ahmad Faris pun tidak mampu ditangani secara Islam. Jika kematian itu berlaku di premis YIK kerana dibunuh oleh seseorang seperti dapatan inkues tidakkah sepatutnya ada diyat yang dibayar kepada waris mangsa?
Slogan kembali kepada penyelesaian Islam itu adalah slogan lunak di telinga tetapi sebenarnya tidak akan membawa ke mana-mana jika slogan itu hanyalah bertujuan untuk politik dan bukannya untuk penghayatan sebenar. Jika dahulu golongan khawarij menyatakan slogan ‘Inil hukmu illa lillah’ tetapi Sayyidina Ali tegas menyatakan bahawa slogan tersebut adalah tepat namun apa yang ditujukan daripada slogan itu adalah batil dan sesat.
ZUQARNAIN LUKMAN ialah pengerusi KANUN AMANAH.