Pelantikan CAAM Berperingkat: Kerajaan Utamakan Kelayakan, Bukan Sekadar Isi Jawatan
A ZAHID
Di bawah Kerajaan Madani, pelantikan pasukan pengurusan baharu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan dilakukan secara berperingkat.
Pendekatan ini diambil bagi memastikan setiap individu yang dipilih benar-benar memenuhi syarat kelayakan dan berupaya menyumbang kepada keperluan sektor penerbangan negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, kerajaan tidak mahu terburu-buru membuat keputusan kerana proses ini perlu dilaksanakan dengan teliti.
Matlamat utamanya adalah untuk mendapatkan calon yang berwibawa, berpengalaman, dan mampu memperkukuh CAAM sebagai agensi kawal selia penerbangan bertaraf antarabangsa.
“Kita sedang dalam perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mengenal pasti individu paling sesuai untuk mengisi jawatan utama dalam CAAM.
Pelantikan akan dibuat dari semasa ke semasa mengikut keperluan,” jelas beliau ketika berucap pada majlis pelancaran identiti korporat baharu CAAM, pada Rabu.
Selain itu, Anthony Loke turut memaklumkan bahawa semua kakitangan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang telah disahkan sebelum ini telah ditawarkan untuk menyertai struktur baharu di bawah CAAM.
Beliau menegaskan, janji kerajaan untuk menyerap tenaga kerja Mavcom ditepati sepenuhnya, kecuali beberapa individu yang memilih untuk tidak meneruskan perkhidmatan kerana faktor usia atau tawaran yang kurang sesuai dengan keperluan peribadi.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah portal tempatan sebelum ini melaporkan bahawa CAAM akan melantik seorang lagi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk mengetuai unit pengawalseliaan ekonomi.
Ketika ini, CAAM yang diketuai oleh Datuk Kapten Norazman Mahmud sebagai CEO, dibantu dua Timbalan iaitu Zainul Abidin Maslan (Operasi) serta Kapten Md Jani Md Dom (Kawal Selia).
Langkah berperingkat ini selaras dengan prinsip Kerajaan Madani yang menekankan ketelusan, meritokrasi, dan kecekapan dalam perkhidmatan awam.
Ia juga memberi isyarat jelas bahawa sektor penerbangan negara tidak boleh dipimpin secara sambil lewa, sebaliknya memerlukan barisan pengurusan yang benar-benar berkualiti.
BACA JUGA: Sejarah baru industri penerbangan: CAAM kini badan tunggal & bebas