Pas hantar wakil jumpa Anwar, Zahid, kata Asyraf Wajdi
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan bagaimana Pas sebelum ini telah menghantar wakil berjumpa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tanpa diketahui pimpinan Bersatu.
“Saya tahu siapa (dalam Pas) yang jumpa sebab orang yang sama buat kepada kami dulu dalam keadaan kita bersama dalam Muafakat Nasional, di belakang boleh jumpa Bersatu.
“Saya dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Muafakat Nasional, saya tanya betulkah Pas terlibat dalam penubuhan Perikatan Nasional.
“Pas nafikan dan tegaskan sama sekali tidak akan terlibat dalam Perikatan Nasional.
“Apa yang berlaku, dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, bubar saja, (Pas) buat pengisytiharan Pas menyertai Perikatan Nasional.
“Sebab apa? Sebab Perdana Menteri (ketika itu) Tan Sri Mahiaddin Yassin. Dia (Pas) boleh tikam belakang kita (Umno),” kata Asyraf Wajdi dalam satu podcast.
Hubungan antara Pas dan Bersatu semakin tegang selepas perhimpunan parti masing-masing dengan Pas dilihat mengungkit kononnya mengeluarkan banyak perbelanjaan semasa kempen pilihan raya umum lalu.
Walau bagaimanapun, bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad mendedahkan bahawa Bersatu menanggung semua perbelanjaan.
Malah, tegasnya, Bersatu juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada Pas.
BACA JUGA Dua gabungan dah terkubur, PN pula mulai tenat