PM Anwar arah segerakan baik pulih, terharu lihat ketabahan mangsa bencana di Sabah

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah arahkan agensi Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk menyegerakan proses baik pulih dan meneliti keperluan peruntukan tambahan susulan bencana alam yang sedang melanda Sabah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa keutamaan pada masa ini adalah memulihkan tempat tinggal serta barangan keperluan asas mangsa bencana banjir dan tanah runtuh di negeri itu.

“Saya turun ke beberapa kawasan di Sabah petang tadi untuk meninjau sendiri kerosakan akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa daerah di negeri ini.

“Terkesan melihat keadaan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya dan pangsapuri Country Heights Penampang yang terjejas teruk dan memerlukan tindakan segera,” ujarnya.

Hujan berterusan di Sabah sejak minggu lalu mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di negeri itu sehingga meragut 14 nyawa termasuk seorang korban banjir setakat ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau amat terharu melihat ketabahan penduduk Sabah yang masih mampu tersenyum ketika beliau bertemu mangsa-mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan St Paul Kolopis dan Kampung Sarapung.

“Insya-Allah, seluruh jentera Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan berusaha sedaya upaya memulihkan kehidupan kalian secepat mungkin.

“Penghargaan tertinggi saya kepada pasukan keselamatan, pengurusan bencana dan sukarelawan yang telah menyabung nyawa demi memastikan keselamatan rakyat yang terkesan.

“Tidak terkecuali petugas Sabah Electricity yang bekerja tanpa henti memulihkan bekalan elektrik yang terjejas,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengucapkan takziah dan penghormatan tertinggi kepada seorang kakitangan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Allahyarham Masedeh Rosmin yang ditemui meninggal dunia selepas dihanyutkan arus deras ketika bertugas di lapangan.

“Pengorbananmu demi rakyat Sabah pasti dikenang selamanya.

“Saya turut rakamkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah dan jentera Kerajaan Negeri yang bertindak pantas sejak hari pertama bencana, dengan menumpukan sepenuh perhatian pada keselamatan serta kebajikan rakyat.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan kepada semua yang terkesan dan mempermudahkan usaha kita bersama dalam memulihkan kehidupan rakyat Sabah,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA Dua pemimpin Muslim dilantik Timbalan Menteri di Thailand