Cubaan seludup ratusan ribu pil yaba ke Malaysia tumpas di Sungai Golok
Satu cubaan menyeludup dadah berskala besar ke Malaysia berjaya dipatahkan pihak berkuasa Thailand semalam apabila 450,000 pil yaba bernilai kira-kira RM1.8 juta dirampas daripada sebuah bungkusan kurier.
Ketua Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok, Supeeyan Daemokleng berkata tindakan itu bermula daripada maklumat risikan mengenai penghantaran dadah melalui sebuah syarikat penghantaran barang di bandar sempadan tersebut.
Beliau menjelaskan operasi pemantauan sejak awal pagi berjaya mengesan bungkusan yang mencurigakan, namun tiada individu tampil menuntutnya sebelum pihak berkuasa merampas dadah itu dan membawanya ke Balai Polis Sungai Golok untuk siasatan lanjut.
“Bagaimanapun, tiada sesiapa hadir dan semua dadah telah dirampas serta dibawa ke Balai Polis Sungai Golok untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Bernama.
Dadah tersebut dipercayai hendak diseludup masuk ke Malaysia menerusi laluan haram di Sungai Golok, dengan nilai pasaran sekitar 30 baht bagi setiap pil.
Supeeyan menegaskan kawalan sempadan akan terus diperketat bagi menghalang Malaysia menjadi sasaran sindiket penyeludupan dadah.
BACA JUGA KPDN gagalkan cubaan seleweng diesel, sita lebih 11,500 liter