Pas ke AMANAH: Halal darah, cai, hak demokrasi dan hala tuju ke depan
Penghijrahan kumpulan progresif yang diketuai oleh Datuk Seri Ahmad Awang, Datuk Seri Mohamad Sabu dan pimpinan dari Pas dan kemudiannya menubuhkan AMANAH adalah disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk ancaman halal darah untuk dibunuh yang diterima oleh Ahmad yang kemudian menjadi penasihat AMANAH
Ancaman tersebut timbul kerana beliau berani mencabar Tan Sri Hadi Awang untuk jawatan presiden Pas.
Walau bagaimanapun kumpulan progresif tersebut dikalahkan menerusi senarai cai dan juga kempen pimpinan Dewan Ulama di seluruh Malaysia yang turut menentang pencalonan mereka.
“Tak kisahlah saya dan Mat Sabu kalah kalau betul pilih secara adil tetapi mereka pakai cai nombor. Kita ada gambar (sebagai bukti).
“Sebelum muktamar ada himpunan oleh Dewan Ulama. Mereka pastikan di kawasan pun sokong ulama. Kita kecewa semua guna cai.
“Saya dapat 300. Mat Sabu pun lebih kurang juga. Merdeka Center jumpa saya sebelum itu meramal ramal kalau kalah, kalah sikit, dan boleh menang.
“Bagi saya ia wake up call untuk Hadi’
“Saya dianggap berani cabar Hadi yang jadi presiden 12 tahun. Saya dianggap wakil DAP. Hadi kata boleh pilih calon DAP atau ulama.
“Saya balas kalau ada DAP wajar Hadi diganti sebab pimpinan Hadi sangat lemah.
“Mereka yang meninggalkan parti dianggap keluar jemaah Islam. Darah mereka halal Hadi kata tapi tak ulang kenyataan itu. Walau bagaimanapun apa yang dia kata tersebar.
“Bila saya cabar Hadi saya turut digugurkan dari memberi tazkirah masjid.
“Mereka dakwa kalau menentang kepimpinan, halal darah. Ada poster dikeluarkan dengan nama saya Ahmad Awang halal darah. Itu ancaman sebelum muktamar. Saya tiada rancangan keluar parti asalnya
“Dewan Ulama telah menolak hak demokrasi kami.”
Ahmad Awang berkata demikian ketika menyorot kembali pemilihan dalam Pas pada tahun 2015 yang menyebabkan beliau dan pimpinan lain keluar Pas dan kemudiannya menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB).
GHB kemudian mengambil alih Parti Pekerja dan dijadikan Parti AMANAH Negara.
Ahmad Awang turut mengulas penggunaan terma tertentu oleh para pengkritik terhadap AMANAH.
“Mereka gelar kami PAN dan dikaitkan dengan DAP kerana kami berada dalam Pakatan Rakyat. Dalam bahasa Inggeris, pan bermakna hentam. Dalam bahasa Arab, Fan bermakna habis.”
Hala tuju masa depan
Beliau turut mengulas berkenaan hala tuju AMANAH dalam politik negara.
“AMANAH memang nak bersama Pakatan Rakyat. Kita ganti Pas. Kita membawa rahmatan lil alamin berteraskan Islam yang berlainan daripada Pas dan hudud.
“AMANAH bawa pendekatan Islam dilaksana dalam suasana Malaysia. Kita nak bawa Islam selari dengan maqasid syariah dimulakan oleh Datuk Seri Dr Mujahid Yusof
“Prinsip Madani selari dengan maqasid syariah jamin keselamatan nyawa maruah harta benda hingga RAHMAH oleh Allahyarham (Datuk Seri) Salahuddin Ayub.
“Lahirnya AMANAH ialah sebagai parti berteraskan Islam yang inklusif sejak awal. Sekarang dengan kedudukan dalam kerajaan, kita dah satu dekad.
“Pada 4 Oktober, kita akan gambarkan sebagai parti bersama rakyat berteraskan Islam.”
AMANAH akan mengadakan sambutan ulangtahun sedekad pada 4 Oktober ini di Stadium Titiwangsa.
Beliau turut menjelaskan peranan AMANAH sebagai komponen Pakatan Rakyat dan kemudiannya Pakatan Harapan terserlah.
Ia berlaku ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri buat kali kedua.
Ada manifesto bahawa kerajaan takkan campur tangan dalam isu agama dan serah pada negeri. Dr Mahathir kata tiada ketentuan untuk lantik menteri agama.
“Majlis Raja – Raja panggil saya. Saya jelaskan tafsiran manifesto. Saya buat kertas kerja dan Majlis Raja – Raja wujudkan jawatankuasa tertinggi mengenai agensi -agensi Islam seperti Jakim.
“Saya dilantik sebagai pakar rujuk. Antara cadangan yang telah dikemukakan ialah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
“AMANAH dilihat Raja sebagai parti jaga Islam. Kita beri jaminan pelaksanaan Islam yang sesuai.
“Kita angkat hukum Islam selaras dengan maqasid syariah.”
Sempena sambutan ulangtahun sedekad beliau berkata bahawa AMANAH telah pun mula melaksanakan langkah reformasi PRO AMANAH untuk mengukuhkan parti menjelang pilihan raya umum ke-16.
“Kita harap generasi pelapis muda sayap Pemuda, AWAN membawa penampilan profesional dan ilmuwan.
“Pada masa sama tokoh lama tidak ditinggalkan. Ini untuk kurangkan serangan lawan.
“Mereka diberi ruang untuk ke hadapan. WARDAH pun ada yang berwawasan.”
BACA JUGA: Sengketa Pas Bersatu petanda perpecahan Perikatan Nasional, menurut penasihat AMANAH