Perlekeh menteri tanam bawang: Pensyarah tegur mentaliti sebahagian orang Melayu
Pensyarah kanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Yusri Ibrahim menyifatkan mentaliti sebagai musuh utama yang menghalang kemajuan orang Melayu, khususnya dalam aspek keterjaminan makanan.
Beliau merujuk kepada perkongsian Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang baru-baru ini menanam bawang di rumahnya sebagai simbol kempen kesedaran kepada rakyat.
Dr Mohd Yusri berkata, langkah yang dilakukan menteri berkenaan bukanlah kerana tidak mampu membeli bawang.
Sebaliknya, kata beliau, bertujuan memberi pendidikan kepada masyarakat agar mengamalkan penanaman skala kecil untuk menampung sebahagian keperluan dapur sendiri.
“Agenda keterjaminan makanan sangat penting untuk negara. Usaha menanam bawang itu adalah sebahagian strategi mengurangkan kebergantungan terhadap import, memandangkan bekalan luar sering terjejas akibat faktor iklim dan geopolitik,” katanya.
Miskin mentaliti
Namun, beliau kesal apabila perkongsian Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu menerima pelbagai komen memperlekeh yang majoritinya daripada orang Melayu sendiri.
“Inilah mentaliti sebahagian orang kita. Kalau miskin mentaliti, kita akan kedana segalanya. Susah nak senang, payah nak berjaya,” tegasnya.
Baru-baru ini, Mohamad yang mesra dikenali sebagai Bang Mat berkongsi kejayaan menuai hasil pertama bawang merah yang ditanam di kawasan kecil di perkarangan rumah beliau.
Mohamad berkata, hasil itu membuktikan bahawa tanaman bawang boleh diusahakan walaupun di ruang yang terhad seperti halaman rumah.
“Kalau ramai rakyat kita mula amalkan budaya tanam sendiri sayur-sayuran dan bahan asas seperti bawang, insya-Allah suatu hari nanti kita tidak lagi terlalu bergantung kepada sumber luar.
“Selain dapat menjimatkan belanja dapur, aktiviti ini juga menyeronokkan, malah menjadi sumbangan kecil kita kepada usaha mengurangkan jurang import makanan negara,” kata Mohamad menerusi hantaran di media sosial rasmi beliau.
Mengulas lanjut, Dr Yusri turut mengimbau pengalaman keluarganya sebagai petani suatu ketika dahulu, apabila ramai jiran memilih untuk membeli sayur asas walaupun mereka sebenarnya berupaya menanam sendiri di halaman rumah.
Menurutnya, fenomena sama masih berlaku hari ini apabila masyarakat membeli bahan asas seperti serai, kunyit, halia, daun kari dan limau purut di pasar, sedangkan semua itu boleh ditanam dengan mudah walaupun di ruang terhad.
“Saya sendiri sudah lama menanam bahan asas masakan seperti serai, kunyit, lengkuas, halia, daun kari, limau kasturi dan pucuk ubi di tepi rumah, malah ada yang saya tanam dalam pasu sahaja,” jelasnya menerusi catatan di Facebook beliau.
Sehubungan itu, ahli akademik berkenaan menegaskan, kempen penanaman bawang dan tanaman asas dapur bukan sahaja membantu menjimatkan perbelanjaan isi rumah, tetapi juga menyumbang kepada kelestarian negara dalam menghadapi cabaran global.
BACA JUGA Pendedahan Zuhdi, Asyraf Wajdi lengkapkan teori pola kerjasama politik Pas yang akhirnya pecah