Tiada kenaikan harga barangan MySARA, bekalan kekal mencukupi – Timbalan Menteri

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sabah meneruskan usaha penguatkuasaan dengan melaksanakan pemeriksaan dan advokasi ke atas beberapa premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan Sumbangan Asas RAHMAH (MySARA). (Gambar: UKK KPDN)

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Salleh, tindakan ini bertujuan memastikan semua premis mematuhi garis panduan pelaksanaan MySARA selain mengelakkan sebarang bentuk penyelewengan yang boleh menjejaskan manfaat kepada rakyat, khususnya golongan B40.

“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati tiada kenaikan harga dikenakan terhadap barangan MySARA dan bekalan barangan juga mencukupi bagi keperluan rakyat di seluruh Sabah. Pemeriksaan berkala akan terus dilaksanakan bagi memastikan tahap pematuhan sentiasa berada pada paras terbaik,” katanya.

MySARA merupakan inisiatif Kerajaan bagi membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup melalui penyaluran bantuan asas secara tanpa tunai menggunakan MyKad. Antara kadar bantuan yang disediakan termasuk, isi rumah (eKasih) sehingga RM2,100 setahun, warga emas (eKasih) sehingga RM1,650 setahun, bujang (eKasih) RM600 setahun dan penerima baharu RM900 (Isi Rumah), RM450 (Warga Emas)

Selain itu, Kerajaan turut menyalurkan Bantuan RM100 secara one-off kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad yang boleh digunakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember 2025 di lebih 7,900 premis seluruh negara, termasuk 701 premis MySARA di Sabah dengan 154 premis daripadanya di Kota Kinabalu.

Dr. Fuziah menegaskan, Kerajaan Madani komited memastikan integriti pasaran sentiasa terjamin, harga barang kekal terkawal serta hak pengguna dilindungi. Beliau turut mengingatkan bahawa sekiranya berlaku kenaikan harga barangan keperluan, notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 akan dikeluarkan.

“KPDN menggesa semua pihak agar terus memberikan kerjasama penuh dalam memastikan pelaksanaan MySARA berjalan lancar dan memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat,” katanya.