DBKL lancar zon sifar sisa Kuala Lumpur, pacu aspirasi Bandar Lestari 2040

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Pelancaran Zon Sifar Sisa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif Datuk Bandar di Pusat Penjaja Jalan Raja Muda Abdul Aziz (TPCA), Kampong Bharu, Kuala Lumpur. 21hb September 2025 (Ahad)

Inisiatif ini merupakan antara langkah utama di bawah Pelan Hala Tuju Kuala Lumpur Ke Arah Sifar Sisa 2040 yang telah diperkenalkan pada 15 Mei 2025, sekali gus memperkukuh kedudukan ibu kota sebagai Champion Zero Waste di peringkat antarabangsa, termasuk dalam Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Negara ASEAN (MGMAC) 2025.

Zon Sifar Sisa akan dilaksanakan di kesemua 11 kawasan Parlimen Kuala Lumpur dengan sasaran “20:40 by 2040” iaitu pengurangan 20 peratus sisa organik dan 40 peratus sisa bukan organik ke tapak pelupusan menjelang 2040.

Bagi menggerakkan pelaksanaan, DBKL telah merangka empat tonggak strategik merangkumi, dasar dan tadbir urus, penguatkuasaan, penyediaan infrastruktur dan kemudahan, serta kerjasama Government-Industry-Community-Educational Institution (GICE).

Sebagai fasa awal, program ini melibatkan 11 lokasi perintis di setiap kawasan Parlimen termasuk, KL Convention Centre (Bukit Bintang), Sunway SPK (Segambut), Universiti Malaya (Lembah Pantai), Institut Latihan Perindustrian KL (Seputeh), Sunway Velocity Mall (Cheras), AEON Alpha Angle (Wangsa Maju). Dua sekolah terlibat iaitu SMK Bandar Baru Sentul (Batu) dan SK La Salle Jinjang Utara (Kepong). Tiga kawasan Parlimen iaitu Kompleks Sukan Bandar Tun Razak (Bandar Tun Razak), Taman Tasik Titiwangsa (Setiawangsa), dan Pusat Penjaja TPCA (Titiwangsa).

Menurut DBKL, Zon Sifar Sisa ini bukan sahaja memperkukuh budaya lestari dalam kalangan warga kota, malah menjadi pemangkin kepada ekonomi kitaran yang mampu memberi manfaat dari segi sosial, ekonomi dan alam sekitar.




“Dengan kerjasama erat semua pihak, kami yakin matlamat sifar sisa dapat direalisasikan sekaligus menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang bersih, indah dan mampan,” jelas DBKL dalam kenyataan.