Krisis Pas-Bersatu gambaran ‘permainan duit’ sudah sebati dalam PN

Angkatan Muda Harapan menegaskan bahawa pertelingkahan antara Pas dan Bersatu berhubung soal wang hanyalah gambaran budaya rasuah, salah guna sumber dan permainan duit yang sudah sebati dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangannya, Ammar Atan berkata, lebih mengejutkan, pengakuan mengenai wang itu datang sendiri daripada pimpinan kedua-dua parti terbabit.

“Pengakuan ini tidak lain tidak bukan membongkar pekung sebenar PN sebuah gabungan yang hidup dan bernyawa kerana duit, bukan kerana perjuangan,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Perbalahan antara Pas dan Bersatu berpunca daripada perbelanjaan kempen pilihan raya selain perselisihan mengenai calon Perdana Menteri jika PN menang PRU16.

Mengulas lanjut, Ammar berkata, rakyat juga tidak lupa, sewaktu PRU15, PN berbelanja besar membanjiri media sosial dengan pempengaruh berbayar dan propaganda maya.

“Beginilah wajah sebenar PN cuba menipu persepsi rakyat dengan kekuatan wang, bukannya meyakinkan dengan dasar yang bernas,” ujarnya.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu menegaskan, lebih menjelikkan, Pas yang sering menjaja imej Islam ternyata tidak lari daripada politik wang yang bercanggah dengan slogan perjuangan yang dilaungkan.

Justeru, katanya, rakyat terutama anak muda perlu menilai dengan bijak memandangkan politik wang yang diamalkan PN bukan sahaja merosakkan demokrasi, malah mengkhianati amanah rakyat.

“Masa depan negara tidak boleh ditentukan oleh siapa atau parti apa yang paling kaya, tetapi mesti dibina oleh siapa yang paling jujur dan berintegriti,” tambah Ammar lagi.

BACA JUGA Tindakan ustaz Pas pertahan penceramah yang dihukum penjara kes rogol dikecam